Ceburi tanaman sayur dan buah: Dr Mahathir
KUALA LUMPUR - Dalam usaha mengurangkan perbelanjaan mengimport makanan negara, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, petani perlu mempelbagaikan dan meneroka penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan serta menggunakan teknologi moden.
Perdana menteri berkata, kerajaan menggalakkan petani dan pekebun mengusahakan pertanian campur untuk memastikan mereka memperoleh pendapatan yang stabil dan lebih baik.
"Mereka tidak boleh bergantung kepada satu tanaman tertentu sahaja, contohnya apabila harga jatuh, petani yang terlibat akan terjejas," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-22 Persatuan Kebangsaan Pekebun Malaysia di sini hari ini.
Dr Mahathir menarik perhatian bahawa banyak sayur dan buah yang diimport sebenarnya boleh diusahakan di negara ini seperti yang dilakukan negara Arab melalui penggunaan teknologi tanaman bertingkat.
Ini bermakna mereka boleh menghasilkan tanaman itu di tanah berkeluasan kecil namun boleh menjana pendapatan yang besar, kata perdana menteri.
"Teknologi ini ada dengan Kementerian Pertanian (dan Industri Asas Tani)," kata beliau.
Tanaman nanas misalnya boleh memberi pulangan yang baik, kata Dr Mahathir yang menceritakan bagaimana seorang lelaki yang dulunya menjadi pemandu lori dengan pendapatan RM1,000 sebulan kini mampu menjana pendapatan RM1 juta setahun selepas menceburi aktiviti penanaman nanas.
"Adalah menjadi harapan kerajaan agar petani memperoleh pendapatan yang sama dengan mereka yang bekerja di bandar supaya tiada jurang pendapatan yang jauh antara masyarakat bandar dan luar bandar," katanya.
Dalam ucapan itu, Dr Mahathir turut mengulangi keperluan mengubah cara mengusahakan tanaman getah dan kelapa sawit bagi meraih untung daripada perusahaan itu dengan menggabungkan ladang-ladang kecil untuk diurus sebagai ladang besar.
"Pengurusan perlu dibuat oleh pengurus pakar dengan mengguna cara-cara pengurusan ladang besar," katanya sambil menambah pemilik tanah akan kekal sebagai pemilik dan keuntungan diagih mengikut saiz tanah sumbangan masing-masing.
Beliau berkata apabila ladang menjadi besar, tanaman semula boleh dibuat di satu bahagian kecil dalam cantuman ladang, dan bahagian yang masih tidak kena tanam semula boleh memberi pulangan sementara menanti kawasan tanaman semula berbuah.
Sementara itu, Dr Mahathir menggesa pekebun kecil sawit yang belum lagi mendaftar dengan persijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) supaya berbuat demikian di mana-mana pejabat Lembaga Minyak Sawit Malaysia.
- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!