Kemasukan pelancong meningkat sejak PH memerintah

Muhammad Bakhtiar (dua dari kanan kanan) - Foto Bernama
Muhammad Bakhtiar (dua dari kanan kanan) - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 26.45 juta pelancong asing datang ke negara ini dengan jumlah pendapatan RM86.90 bilion bagi tempoh Julai 2018 hingga Jun 2019 sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pemerintahan negara, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, jumlah tersebut merekodkan peningkatan ketibaan pelancong asing sebanyak 2.7 peratus dengan pertambahan pendapatan sebanyak 6.8 peratus.

"Sejak kerajaan PH mengambil alih pemerintahan negara hasil pendapatan daripada perbelanjaan pelancong asing turut meningkat kepada RM41.69 bilion sepanjang tempoh Julai 2018 hingga Jun 2019 berbanding RM39.01 bilion pada tempoh sama sebelum ini," katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (BN-Maran) yang ingin tahu jumlah pelancong yang datang ke Malaysia mengikut statistik setiap negara dan pulangan yang diterima hasil daripada kehadiran pelancong berkenaan setelah kerajaan PH mengambil alih pemerintahan selepas Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018.

Menjawab lanjut, bagi ketibaan pelancongan asing ke Malaysia dari lima pasaran utama dalam tempoh yang sama, Singapura berada di kedudukan teratas dengan kemasukan seramai 5.38 juta orang, diikuti Indonesia (1.85 juta), China (1.55 juta), Thailand (990,565) dan India (354,486).

Menjawab soalan tambahan Datuk Dr Hasan Bahrom (PH-Tampin) berkenaan fokus kementerian dalam meningkatkan sektor pelancongan, Muhammad Bakhtiar menjelaskan, hala tuju sektor tersebut kini menjurus kepada pelancongan luar bandar.

“Ramai pelancong yang datang bukan semata-mata untuk tengok bangunan atau monumen tetapi lebih kepada mengalami pengalaman berada di kawasan luar bandar," katanya.

Katanya, ini secara tidak langsung menjana ekonomi penduduk luar bandar terutama pengusaha inap desa memandangkan pelancong terutama dari Jepun dan China gemarkan aktiviti tersebut. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!