Roh tergantung jika hutang tidak dibayar
SEBUT sahaja tentang hutang, ingatan penulis terarah kepada kisah pada zaman Rasulullah SAW yang mana baginda enggan menyempurnakan solat jenazah bagi orang yang tidak melunaskan hutangnya.
Anas bin Malik berkata: “Kami pernah bersama Rasulullah SAW, lalu baginda mendatangi seseorang yang sedang disolatkan. Baginda pun bertanya, "Apakah sahabat kalian ada memiliki hutang?" Mereka menjawab, "Ya."
Lalu baginda bersabda: "Lalu apa manfaatnya bagi kalian jika aku mensolatkan orang yang rohnya pun tidak naik ke langit? Jika ada orang yang menjamin hutangnya, aku akan mengerjakan solat untuknya kerana sesungguhnya solatku akan bermanfaat baginya.” (Riwayat at-Tabarani)
Berdasarkan hadis itu, perkara berkaitan hutang tidak boleh dibuat 'main'. Ia tetap perlu dijelaskan meskipun ketika itu kita sudah tiada lagi di dunia yang fana ini.
Apakah hukum berhutang? Benarkah roh orang yang tidak melunaskan hutang akan tergantung? Adakah hutang itu akan dituntut di akhirat kelak?
Harus untuk perkara daruriat
Bagi mendasari persoalan itu, Sinar Islam mewawancara pendakwah Ustaz Hadi Talhah.
Jelas beliau, hutang sebenarnya satu perkara yang diharuskan dalam Islam apabila kita sangat memerlukan sejumlah wang bagi memenuhi kehidupan seharian.
Begitupun, katanya, keutamaan perlu diberikan kepada perkara daruriat berbanding hajiat.
"Keharusan itu dalam perkara yang kita perlukan demi memenuhi keperluan hidup kita umpamanya berhutang untuk membeli makanan, minuman, tempat tinggal kenderaan dan sebagainya.
"Adapun hutang perkara yang tiada keperluan umpamanya berhutang untuk membeli televisyen, perkakas rumah dan perkara-perkara yang tidak diperlukan dalam Islam, ia tidak begitu digalakkan," katanya ketika ditemui di Masjid Ara Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Ustaz Hadi menjelaskan, Islam menggariskan beberapa panduan ketika berhutang. Mereka yang berhutang disunatkan untuk menulis sebagai rekod.
Firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu bermuamalah tidak secara tunai untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menulisnya...” (Surah al-Baqarah, ayat 282)
Jelas agamawan itu, tujuan hutang berkenaan ditulis supaya ada bukti bagi mengelakkan berlaku pertelingkahan pada hari akan datang.
"Maka elok ada rekod dan ada pula saksi dua orang untuk menyaksikan hutang itu dilaporkan supaya tidak timbul perbalahan di belakang hari. Itu sebenarnya kenapa direkodkan hutang berkenaan," ujar beliau.
Apabila sudah berhutang, Ustaz Hadi menasihatkan agar hutang itu dilunaskan. Jika tidak dijelaskan, ia akan menyebabkan roh seseorang hamba itu akan 'tergantung' selepas kematiannya.
"Maknanya, rohnya itu tidak sampai untuk diberikan rahmat oleh ALLAH SWT. Apabila seseorang itu mati, maka roh itu akan pergi ke tempat yang ALLAH rahmati dan tempat yang ALLAH tidak rahmati. Maka sebab itu, ia terawang-awang atau 'tergantung' hinggalah hutangnya dijelaskan oleh ahli keluarganya.
"Sebab itulah kita kena mengelak daripada berhutang dan berdoa kepada ALLAH supaya kita tidak masuk dalam kalangan orang yang berhutang," katanya.
Beliau turut memetik satu doa untuk mengelak diri daripada hutang. Doa itu dianjurkan Nabi Muhammad SAW kepada Mu'az bin Jabal iaitu 'Allahumma inni a'uzubika minal hammi walhazan wa'a'uzubuki minal ajzi walkasal, wa'a'uzubika minal jubni wal buhl, wa'a'uzubika min ghalabatid daini waqahrir rijal' (Ya ALLAH Ya Tuhan, aku berlindung kepada kamu daripada sifat dukacita dan sedih, daripada lemah dan malas, daripada takut dan bakhil, dan daripada berhutang dan tekanan manusia).
"Sebab itulah kita banyakkan doa supaya kita tidak termasuk dalam kalangan orang yang berhutang. Bimbang nanti kita tidak dapat bayar hutang dan menyebabkan roh kita tergantung, tidak sampai untuk mendapat rahmat ALLAH SWT," katanya.
Tidak masuk syurga
Sementara itu, pendakwah Dr Mohd Farid Ravi Abdullah berkongsi ilmu tentang akibat kepada mereka yang berhutang dan tidak menjelaskannya.
Ujar beliau, tindakan itu sebenarnya 'menjebakkan' diri jauh daripada syurga ALLAH. Dalam sebuah hadis riwayat at-Tirmidzi disebut bahawa apabila manusia meninggal dunia, dia bebas untuk masuk syurga selagi mana tiada tiga perkara yang mengikatnya iaitu bongkak, hutang dan mencuri harta awam.
Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda: "Jiwa seorang Mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga dilunaskan hutang baginya." (Riwayat at-Tirmidzi)
Justeru, Dr Mohd Farid mengingatkan kita agar jangan 'bermain' dengan hutang.
"Kalau seseorang itu berhutang, dia kerja dan bayar balik, ia sebenarnya jadi ibadah. Malah, ALLAH SWT akan murahkan lagi rezekinya untuk dia membayar hutang berkenaan.
"Namun, jika seseorang 'lari' itu daripada hutang itu, maka kita akan lihat ALLAH akan menyempitkan lagi rezekinya dan pelbagai musibah akan menimpanya. Dia juga menjadi manusia yang tidak pandai berterima kasih dengan satu kelonggaran yang Islam beri.
"Secara asasnya, orang (yang memberi hutang) boleh sahaja memilih untuk tidak membantu sebab itu ialah harta dia. Namun, atas dasar kemanusiaan, silaturahim dan persaudaraan, dia hulur (bantuan hutang) juga," katanya.
Benarkah si pemberi hutang akan mencari semula peminjam di akhirat untuk menuntut semula hutangnya jika tidak dibayar? Kata Dr Mohd Farid: "Betul. Untuk melunaskan hutang orang yang berhutang tadi, barangkali dia ada beberapa amalan (kebaikan) yang dibawanya. Jadi, dengan amalan itulah ia akan 'dipindahkan' kepada orang yang dia berhutang tadi. Maka, muflislah amalan orang yang gagal melunaskan hutang berkenaan."
Usaha bayar hutang
Apapun jelas Dr Mohd Farid, kita perlu ada usaha untuk membayar hutang berkenaan. Ujar Pensyarah Kanan Jabatan al-Quran dan Sunnah, Fakulti Pengajian dan Peradaban Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor itu, jika tidak dapat diselesaikan dalam tempoh dijanjikan, maklumkan kepada si pemberi hutang tadi tentang kekangan tersebut.
"Katakan kita berhutang RM1,000 dan berjanji untuk membayarnya pada bulan depan selepas mendapat gaji. Namun, apabila tiba masanya, mungkin kita ada komitmen lain seperti kereta terlibat kemalangan atau anak sakit yang memaksa duit berkenaan didahulukan untuk komitmen tersebut, berundinglah dengan pemberi hutang.
"Sebaiknya, berlaku jujurlah kepada pemberi hutang dalam membayar balik hutang berkenaan. Bagaimapun, orang yang berhutang itu tadi kena rasa itu ialah hutang, bukan duit orang dan sebagainya. Jika dia perlu kerja sampingan, dia perlu lakukan untuk cari duit dan bayar hutang berkenaan.
"Sebab itu, selepas solat jenazah, imam ataupun ahli waris arwah akan beritahu, jika ada sesiapa yang mahu menuntut hutang arwah, boleh menuntutnya pada waris," katanya.
Seperkara lagi, Dr Mohd Farid turut menegur sikap masyarakat yang lazimnya membuat pengumuman berkenaan tuntutan hutang tersebut selepas solat jenazah ditunaikan.
"Sepatutnya ia ditanya atau diberitahu sebelum solat jenazah. Nabi Muhammad SAW juga tanya sebelum solat jenazah. Ini kerana, orang yang hendak solatkan jenazah itu perlu memastikan hati mereka tiada apa-apa (yang terpendam) dengan arwah," jelasnya.
Kepada satu soalan, agamawan itu turut mengingatkan kita agar jangan langsung terlintas enggan membayar hutang sekalipun si pemberi hutang tadi orang yang kaya.
"Jangan sekalipun dalam kepala terlintas "Alah, RM1,000 je pun pinjam, kalau tak bayar, dia (pemberi hutang) bukannya miskin".
"Ingat! Dia kaya, jutawan mahupun hartawan sekalipun, itu bukan soal kita. Soal kita yang berhutang ialah cari jalan (bagaimana) hendak bayar hutang. Itu saja. Jangankan RM1,000 saja. Sekalipun nilainya hanya RM1 (kita hutang), itu tetap hak dia (pemberi hutang). Dia berhak tuntut balik. Jadi jangan cari alasan untuk tidak bayar hutang atau melengah-lengahkannya," jelas beliau.
Elak hutang jika tidak mampu bayar
Pinjaman bank juga termasuk dalam hutang yang wajib dibayar dan 'diancam' dengan ancaman berat sepertimana disebutkan dalam beberapa hadis jika ia sengaja tidak dibayar.
Antara ancaman berkenaan ialah jiwa orang yang berhutang akan tergantung selagi ia tidak melunaskan hutangnya, selain hutang tersebut akan dibayar kepada pemiutang dengan pahala amal kebajikan si penghutang di akhirat kelak.
Justeru, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menasihatkan supaya masyarakat berusaha sedaya upaya mengelakkan diri daripada berhutang kecuali diyakini mampu untuk membayarnya semula.
"Bagaimanapun, terdapat pelbagai cara untuk memastikan pinjaman tersebut dilunaskan antaranya seperti mengambil pelan takaful bagi menjamin pembayaran hutang dan sebagainya. Kita haruslah berusaha memastikan bahawa kita dapat melunaskan hutang tersebut.
"Tambahan pula, hutang tersebut merupakan al-dayn al-muajjal (hutang yang boleh ditangguhkan). Justeru, ia boleh ditangguhkan kepada masa-masa tertentu jika sekiranya mempunyai kekangan," katanya dipetik menerusi artikel Al-Kafi #1325: Adakah Hutang Bank Menyebabkan Roh dan Amalan akan Tergantung yang disiarkan di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada Julai lalu.
Sementara itu, bagi hutang yang sudah dihalalkan oleh si pemiutang, tetapi tetap ingin dibayar oleh penghutang, Sinar Islam mewawancara pendakwah Ustaz Elyas Ismail untuk merungkai persoalan tersebut.
Ujar beliau, jika keadaan itu berlaku, penghutang boleh menjadikan jumlah yang ingin dibayarnya tadi sebagai sedekah.
"Kita boleh sedekahkan kepada orang lain dalam bentuk duit atau kita beli barang dan niatkan pahalanya itu untuk sahabat kita atas sebab dia pernah membantu kita meminjamkan wang dia dahulu," jelas beliau.
Selain itu, jelas agamawan tersebut, kita juga boleh mendoakan orang yang telah meminjamkan wang tadi.
"Salah satu daripada kelebihan orang yang mendoakan orang lain ialah malaikat akan mengambil ambil doa orang itu dan pulangkan kembali kepada orang yang mendoakan tadi.
"Jadi, doakanlah orang yang berikan kita pinjam duit tadi. Doa itu juga akan 'pulang' balik kepada kita. Yang penting, hubungan kita dengan sahabat atau orang yang bagi pinjam duit tadi itu sentiasa dalam keadaan baik sampai syurga," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!