Keluarga masih bincang, mungkin dikebumikan di Turki: Bapa
PETALING JAYA - Keluarga masih berbincang sama ada mahu membawa pulang jenazah Allahyarham Azalan Miswan, 50, mangsa yang maut dalam kemalangan bas di Turki semalam.
Bapanya Miswan Sayuti, 70-an, berkata, menantunya Wan Faridah Ahmad yang turut serta dalam rombongan berkenaan mahu jenazah suaminya dikebumikan di Turki.
"Kami masih berbincang kerana Wan Faridah mahu jenazah dikebumikan di sana. Saya tidak kisah anak saya dikebumikan di mana sahaja," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Medan, di sini, tadi.
Miswan berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan anaknya ketika dia datang melawat ibunya, Rosnani Hamzah, 68, yang sedang sakit, baru-baru ini.
"Dia hanya berpesan kepada kami supaya jangan pergi jauh-jauh," katanya.
Dalam kejadian 11.35 pagi waktu tempatan semalam, Azalan Miswan maut selepas bas yang dinaiki bersama 34 rakyat Malaysia terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan dari Pamukkale ke Cappodokya.
ARTIKEL BERKAITAN: PKNS akan segera bawa pulang mangsa nahas bas di Turki
Seorang rakyat Malaysia maut dalam kemalangan di Turki
Sementara itu, adik mangsa, Azhar Miswan, 47, berkata, keluarganya masih terkejut dengan berita kemalangan membabitkan abang sulungnya, Azalan dan kakak iparnya, Wan Faridah yang mengikuti rombongan bercuti ke negara itu."Kami masih bersedih, kami harap semua pihak khususnya media memberi ruang kepada keluarga untuk bertenang.
“Kami masih lagi menunggu keputusan daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk tindakan lanjut berhubung urusan abang dan kakak ipar saya di sana,” katanya.
Menurutnya, Faridah ada menghubungi keluarga lewat malam semalam dan memaklumkan keadaannya yang stabil namun tidak sempat bercerita lanjut mengenai kejadian itu.
“Kali terakhir berjumpa abang kira-kira dua minggu lalu dan dia berpesan supaya menjaga kedua ibu bapa kami yang sudah uzur... tiada yang pelik kerana itu pesanan yang sering diingatkannya,” katanya.
Azalan merupakan anak sulung daripada tujuh orang adik beradik dan mempunyai dua anak lelaki dan seorang perempuan, masing-masing berumur 15, 23 dan 26.
Dalam perkembangan sama, Pengurus Komunikasi Korporat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Mahfizul Rusydin Abd Rashid memaklumkan pihaknya juga sedang menunggu keputusan waris.
"Kalau ikutkan keadaan sekarang ada kemungkinan mereka mahu bawa balik jenazah. Kita sedang melihat proses untuk bawa balik. Pihak kedutaan akan membantu dalam hal ini," katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga akan berpakat berhubung kos pengurusan jenazah jika dibawa pulang.
"Kita telah mengadakan mesyuarat berhubung perkara ini dan sudah merancang beberapa perkara yang perlu dilakukan. Kita akan bantu mana yang mampu," katanya.
Beliau berkata, kesemua mangsa dilindungi insurans.
"Mangsa yang tidak cedera ditempatkan di sebuah hostel berdekatan hospital," katanya.
Menurutnya, pihaknya dimaklumkan seramai lapan mangsa sedang dirawat di hospital
"Kita menerima laporan sehingga 3 petang tadi seramai empat mangsa parah dan empat lagi masih menerima rawatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!