Kewangan Islam semakin penting dalam keadilan sosial
KUALA LUMPUR - Kewangan Islam kini semakin penting dan telah mengalami pengembangan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana ia dilaksanakan berdasarkan prinsip adil, saksama dan beretika yang membawa kepada kesejahteraan sosial.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, prinsip Kewangan Islam adalah berteraskan keadilan sosial dan kemakmuran ekonomi serta menggalakkan aktiviti ekonomi mampan.
“Etika berkenaan bukan hanya terpakai kepada kehidupan peribadi umat Islam, tetapi juga dalam semua aspek termasuk cara mereka menjalankan perniagaan. Prinsip tahap tinggi seperti memimpin manusia di muka bumi, integriti dan ikhlas menyediakan asas untuk kerangka etika perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Pelancaran Bicara Pelaburan ESG 2019 Bank Islam Malaysia Bhd di sini hari ini.
Mujahid juga berkata, pengurusan dana Islam adalah berpandukan prinsip Kewangan Islam yang menzahirkan niat yang jelas untuk memenuhi keperluan kewangan peserta dengan penuh integriti, dan secara nyata, adil, boleh dipercayai dan amanah, dan pada masa yang sama memastikan pengagihan kekayaan lebih saksama.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh bahawa Lembaga Tabung Haji (TH) telah menjual saham dan harta berjumlah RM1.2 bilion sehingga 30 Jun lepas, beliau berkata, ia berada di landasan yang betul.
“Itulah jawapan dia dan ini bermakna kita bergerak di landasan yang betul,” katanya.
Semalam pada persidangan Dewan Rakyat, Fuziah dilaporkan berkata penjualan saham, instrumen kewangan dan hartanah itu telah menghasilkan keuntungan RM61 juta kepada TH. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!