Jeremy Hunt lawat Malaysia esok
KUALA LUMPUR - Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Luar dan Komanwel United Kingdom (UK), Jeremy Hunt akan melakukan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia mulai esok.
Kenyataan Kementerian Luar hari ini menyebut Hunt akan diiringi isterinya dan para pegawai dari Pejabat Luar dan Komanwel UK dalam lawatan sulung beliau ke Malaysia selepas menjawat jawatan itu pada 9 Julai 2018.
Menurut kenyataan itu, dalam lawatan berkenaan, Hunt dijadual melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah di Wisma Putra, Putrajaya.
"Kedua-dua menteri dijangka membincangkan pelbagai isu membabitkan kepentingan bersama termasuk ASEAN, BREXIT dan isu serantau," jelas kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut Hunt dijadual melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya dan bertukar-tukar pandangan berhubung isu serantau serta antarabangsa membabitkan kepentingan bersama.
Beliau juga akan bertemu Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo untuk membincangkan inisiatif bagi memperkukuh serta memperteguh kerjasama dua hala dan sektor komunikasi.
"Lawatan itu dijangka terus mempereratkan ikatan persahabatan dan mencerminkan hubungan yang terjalin sejak sekian lama dengan UK di samping mempertingkatkan kerjasama dalam bidang baharu antara kedua-dua negara," menurut kenyataan itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!