Polis tahan penganjur Neon Countdown
PORT DICKSON - Polis menahan seorang wanita yang juga salah seorang penganjur program Neon Countdown 2019 yang diadakan di Tasik Villa, Lukut di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Aidi Sham Mohamed berkata, keterangan daripada penganjur berkenaan diambil untuk membantu siasatan.
“Kita membuat tinjauan di lokasi program dan mendapati program yang berlangsung pada malam itu bertentangan seperti yang dimohon penganjur sebelum ini. Malah kita kesan aktiviti penjualan dan pengambilan minuman keras.
“Kita melakukan tangkapan terhadap seorang penganjur wanita berumur 36 tahun lebih kurang jam 9.45 malam bagi membantu siasatan sebelum dia dibebaskan dengan jaminan polis. Kes akan siasatan di bawah Seksyen 15 Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya.
Menurutnya, polis juga menahan lima individu berusia 22 sehingga 34 tahun yang berasal dari Kelantan, Selangor serta Kuala Lumpur kerana dipercayai terlibat aktiviti penjualan dan penyalahgunaan dadah.
“Kita merampas 30 biji pil ekstasi, tujuh pil erimin 5, satu peket lut sinar berisi disyaki ketamin dan sebatang rokok disyaki mengandungi ganja," katanya.
Menurutnya, siasatan polis mendapati program yang berlangsung pada malam itu bertentangan dengan syarat permit yang dimohon penganjur kerana turut melibatkan penyalahgunaan dadah selain penjualan dan pengambilan minuman keras.
Aidi berkata, pihaknya kesal program yang berlangsung malam itu bertentangan dengan syarat permit yang dimohon penganjur.
“Permohonan awal penganjur lebih kepada persembahan kebudayaan dan kesenian tetapi kita dapati penganjuran yang diadakan malam tadi bertentangan dengan permohonan yang dibuat.
“Saya amat kesal dengan apa yang penganjur buat tanpa memaklumkan kepada pihak polis situasi dan perancangan sebenar,” katanya.
Penganjuran program Neon Countdown 2019 yang bertemakan 'Love Music dan Experience' menjelang tahun baru 2019 menjadi kontroversi apabila mendapat bantahan daripada pelbagai pihak termasuk penduduk sekitar.
Program yang berlangsung di sebuah kawasan privasi itu mengundang kemarahan penduduk yang bimbang akan mewujudkan masalah moral selain bertentangan dengan budaya Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!