Tukun Pak Manap tanda ingatan
MERSING - Nama pesara Jabatan Taman Laut Johor, Abdul Manap Abdullah, 63, yang meninggal dunia selepas menyelam di Pulau Lima, Mersing ketika program melabuhkan tukun udang kara kelmarin diabadikan pada tukun tersebut.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin mengumumkan pemilihan nama Tukun Pak Manap ketika membuat lawatan kerja ke pulau tersebut semalam.
Menurut Tze Tzin, usaha murni yang dilakukan Allahyarham sepanjang hayatnya terhadap konservasi marin harus diberi pengiktirafan.
"Saya turut bersedih mendengar berita pemergian Pak Manap, seorang yang berdedikasi terhadap taman laut sampai ke akhir hayatnya. Malah pada saat akhir pun beliau masih melakukan kerja konservasi.
"Ini kita wajar hargai. Terima kasih Pak Manap. Kita harus mengingati beliau dan saya umumkan bahawa tukun rekreasi dan tukun udang kara di gugusan Pulau Lima dinamakan sebagai Tukun Pak Manap," katanya.
Kelmarin, Allahyarham tidak sedarkan diri selepas menyelam kali kedua di Pulau Lima bagi meninjau keadaan tukun udang kara yang dilabuhkan kira-kira jam 5 petang.
Yusri Mohd Nor, 41, yang bersama Allahyarham ketika menyelam di Pulau Lima berkata, Allahyarham langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan sehingga naik ke dalam bot.
"Arwah menyelam 30 minit pada kedalaman 20 meter, apabila naik ke permukaan air arwah tunjuk isyarat ok dan terus naik bot.
"Dalam bot baru arwah nampak semput, mengadu sejuk badan. Saya bantu urut belakang, bagi tuala kering tiba-tiba saja arwah tak sedarkan diri, sekelip mata," katanya.
Allahyarham yang bersara lima tahun lalu dengan jawatan akhir sebagai Pembantu Laut (Serang) di Taman Laut Johor disahkan meninggal dunia sekitar jam 6.50 petang akibat serangan jantung.
Sementara itu, Ketua Cawangan Taman Laut dan Pengurusan Sumber Jabatan Perikanan Johor, Bahrinah Bahrim yang mengenali Allahyarham lebih 11 tahun lalu tidak dapat menahan sebak saat Tze Tzin mengumumkan nama tukun tersebut.
"Sepanjang kenal arwah, memang sangat baik dan suka bergurau. Dalam komuniti penyelam, Pak Manap sangat dikenali malah selepas bersara pun beliau masih aktif dengan dunia menyelam sebab 'passion' itu. Kadang-kadang kita juga panggil arwah untuk bantu mengajar dalam kelas 'eco-diver'.
"Arwah juga pernah dianugerahkan 'Unsung Hero' lima tahun lepas atas jasa sebagai jurulatih menyelam, kerja-kerja konservasi dan penguatkuasaan serta dedikasinya sebagai anggota Taman Laut," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Kali terakhir dia melambai kepada saya'
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!