Rampasan dadah di Perak meningkat
IPOH - Polis Perak merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM2.1 juta bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Lim Hong Shuan berkata, berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak, dari Januari hingga September tahun ini, rampasan dadah paling tinggi adalah dadah jenis heroin iaitu 65,297.33 gram, diikuti syabu (23,651 gram) dan ganja (4,431.66 gram).
Menurutnya, turut dirampas ketamin 114.35 gram, pil erimin 5 (591 biji), pil ekstasi (142 biji) dan pil yaba (51 biji).
"Jumlah ini meningkat sebanyak 19 peratus iaitu lebih RM210,000 berbanding RM1.2 juta tempoh sama tahun lalu.
"Nilai sitaan harta juga meningkat 75 peratus kepada RM5.3 juta berbanding RM3 juta sebelum ini," katanya.
Beliau berkata, kebanyakan kes kemasukan dadah di negeri ini dikesan menggunakan jalan darat terutama lebuh raya.
Bagaimanapun katanya, JSJN Perak sentiasa menjalankan pemantauan dan risikan yang profesional dalam membanteras penyalahgunaan dadah di semua kawasan di negeri ini.
"Tindakan penguat kuasaan secara proaktif dijalankan bagi mengekang gejala ini. daripada terus berleluasa.
"Bagi tempoh sembilan bulan pertama ini sahaja, polis telah melakukan tangkapan ke atas 10,050 orang iaitu peningkatan 25 peratus berbanding tahun lalu yang terlibat sebagai pembekal dan memiliki dadah serta penagih," katanya.
Hong Shuan berkata, orang ramai yang curiga dengan sebarang perilaku atau mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah di kawasan masing-masing diminta menyalurkan maklumat segera kepada polis atau menerusi aplikasi WhatsApp 24 jam di talian 012-20872222.
"Pemberi maklumat tidak perlu khuatir terhadap keselamatan mereka kerana semua butir maklumat yang disalurkan akan dirahsiakan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!