Lelaki bergaduh dalam video bukan anggota DBKL

Tangkap layar video kekasaran lelaki mendakwa penguatkuasa undang-undang terhadap warga emas Rohingya.
Tangkap layar video kekasaran lelaki mendakwa penguatkuasa undang-undang terhadap warga emas Rohingya.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang individu yang mendakwa dirinya sebagai penguat kuasa undang-undang dan melakukan kekasaran terhadap seorang lelaki lain dipercayai peniaga yang tular di media sosial bukan kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Jurucakap DBKL mengesahkan perkara itu sewaktu dihubungi Sinar Harian bagi mendapatkan pengesahan berhubung kejadian yang tular di media sosial Facebook sejak petang kelmarin.

Jurucakap berkenaan berkata, pihaknya telah melakukan semakan dan siasatan sebaik tersebarnya penularan rakaman berdurasi 56 saat itu.

"Kami sahkan bukan anggota DBKL dan atas sebab itu kami tak ambil kes tersebut. Mangsa boleh membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

"Banyak pihak boleh mengaku mereka adalah dari DBKL, tapi orang awam boleh lihat perbezaan antara yang menyamar dengan anggota sebenar. Biasanya penguatkuasaan akan dilakukan secara berkumpulan. Jika anggota tidak memakai baju penguat kuasa, biasanya akan bersama mereka yang memakai uniform ketika bertugas," katanya.

Kelmarin satu rakaman video insiden pergaduhan melibatkan dua lelaki tular di media sosial di mana seorang daripadanya mendakwa sebagai anggota DBKL.

Rakaman berdurasi 56 saat itu menunjukkan kejadian dipercayai berlaku di kaki lima hadapan sebuah kedai.

Menerusi perkongsian pengguna Facebook, Tia Fatehah, mendedahkan punca pergaduhan itu bermula apabila lelaki 'DBKL' meminta wang sebanyak RM5 daripada peniaga yang menjual di kaki lima.

Artikel Berkaitan:

Ekoran keengganan peniaga memberikan wang, lelaki itu terus bertindak kasar terhadap peniaga dan memukul, menampar, herdik dan memarahi peniaga tersebut.

Kedengaran suara lelaki 'DBKL' itu memberitahu, "Saya ada kad kuasa tahu tak, kau tahu aku siapa. Aku penguatkuasa. Kau tunggu jap. Aku panggil lori".

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!