Empat murid cedera van terbalik
SUNGAI PETANI - Jeritan Allahuakbar mengejutkan tujuh murid Sekolah Kebangsaan (SK) Dataran Muda, Bukit Selambau apabila van dinaiki mereka terbalik dalam kemalangan di KM13.8 Jalan Sungai Petani-Kuala Ketil jam 1.45 petang tadi.
Difahamkan van berkenaan dipandu datuk kepada tujuh cucu terbabit, Mat Saad Hussain, 73, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka dekat Kampung Jerung, Sungai Petani selepas mengambil kesemua mangsa di sekolah.
Seorang mangsa, Nur Yusrina Amani, 10, berkata, dia terdengar datuknya menjerit sejurus menyedari sebuah kenderaan secara tiba-tiba muncul di hadapan.
Menurutnya, akibat kemalangan itu van berpusing sehingga terbalik.
"Masa tu tok wan jerit Allahuakbar, kami semua terkejut," katanya ketika ditemui di Unit Kecemasan Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani di sini semalam.
Dalam pada itu, Mat Saad berkata, dia mengharapkan kesemua cucunya selamat walaupun ada antara mereka mengalami kecederaan termasuk Nur Fatin Najwa Zakaria, 12, patah tangan manakala tiga yang lain cedera ringan.
Katanya, dalam keadaan cemas, dia menyedari sebuah kenderaan secara tiba-tiba muncul di hadapan tanpa sempat mengelak.
"Saya tak sempat nak buat apa-apa sebab tiba-tiba saja kereta tu ada di depan. Saya hilang kawalan menyebabkan van terbalik namun saya sempat keluarkan cucu-cucu keluar dari van, mujur kereta tak banyak masa kejadian," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, enam cedera termasuk empat murid sekolah.
Menurutnya, kejadian berlaku apabila sebuah kereta Perodua Viva dipercayai dipandu laju di laluan bertentangan dari arah Sungai Petani ke Kuala Ketil telah hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan dan bergesel dengan van yang dipandu Mat Saad.
"Akibat kemalangan, Mat Saad dan pemandu kereta Perodua Viva iaitu seorang wanita berusia 31 tahun turut cedera ringan manakala tiga lagi murid dilaporkan tidak mengalami kecederaan dan dibawa pulang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!