Luluh hati lihat derita anak
Mohd Hakim Nazere Roslan, 13, terpaksa melupakan alam persekolahan dan terbaring di atas tilam di Kampung Haji Merah, Palekbang di sini.
Lebih menyedihkan, jika lapar, sakit dan mahu membuang air kecil, Mohd Hakim Nazere hanya menggerakkan jari telunjuknya sebagai isyarat untuk memberitahu ibunya.
Ibunya, Hayati Ibrahim, 48, berkata, penyakit yang tidak diketahui puncanya telah meragut suara dan fungsi tangan serta kaki anaknya sekelip mata.
"Dalam tempoh singkat sangat ia berlaku, mulanya alahan gatal di celah jari pada Mac tahun lepas.
"Lima hari kemudian dia demam teruk selepas pulang dari sekolah, langkah jalannya dan tutur percakapannya menjadi perlahan. Saya bawanya ke unit kecemasan Hospital Tumpat dan dimaklumkan demam biasa.
"Keesokan harinya anak saya ke rumah kenduri saudara di Pasir Puteh, tetapi tiba-tiba tangannya dah tak mampu nak suapkan nasi ke mulut dan perlu dipapah," katanya.
Menurutnya, anaknya itu kemudian dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) selepas mendapat surat daripada klinik swasta agar kesnya dirujuk dengan doktor pakar saraf.
"Anak saya ditahan dalam wad kanak-kanak. Doktor mahu ambil air tulang belakang, tapi saya tak setuju dan minta anak saya dibawa pulang.
"Ikhtiar lain, saya cuba rawatan tradisional dengan mengurut dan meminta air bacaan ayat al-Quran daripada ustaz," katanya.
Mohd Hakim Nazere anak ketujuh daripada 11 beradik itu tidak mampu lagi makan makanan keras dan hanya minum susu yang disalurkan melalui tiub di hidung.
Situasi itu mula merunsingkan Hayati kerana memerlukan kos yang besar memandangkan perbelanjaan susu khas tersebut lebih RM1,000 sebulan, manakala dia masih ada lima anak bersekolah rendah dan menengah.
Suaminya, Roslan Dollah, 52, pula hanya berniaga air batu campur dengan motosikal roda tiga.
Hayati berkata, sudah tiga minggu suaminya tidak bekerja kerana perlu menguruskan anak yang baru keluar Hospital Tumpat lima hari lalu kerana demam dan muntah.
"Saya buntu memikirkan keadaan anak saya ini, ketika kawan-kawannya gembira dengan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan (SK) Palekbang, dia pula tidak menduduki peperiksaan tersebut kerana sakit," katanya.
Hayati berkata, anaknya tidak mahu memakai lampin buang dan setiap kali dia mahu kencing dan buang air besar, perlu diusung kerana tiada kerusi roda khas.
"Waktu nak buang air besar memang susah, nak letak dia mencangkung dalam tandas tak boleh," katanya.Sesiapa yang ingin membantu boleh salurkan sumbangan ke dalam akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Roslan Dollah, 03118-29-00023520-7
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!