Organisma 'misteri' ada 720 jantina
PARIS - Taman Zoologi di Paris semalam mempamerkan organisma misteri baharu digelar ‘blob’ yang kelihatan seperti kulat tetapi mempunyai sifat seperti haiwan.
Unisel berwarna kekuningan itu didakwa tidak mempunyai mulut, perut atau mata.
Namun, ia masih boleh mengesan makanan dan mencernakannya.
“Blob tersebut juga mempunyai hampir 720 jantina dan boleh bergerak tanpa kaki atau sayap. Selain itu, ia mampu menyembuhkan dirinya dalam tempoh dua minit. Paling memeranjatkan, ia tiada otak namun mampu belajar.
"Jika anda gabungkan dua blob bersama, salah satu daripadanya yang telah belajar tentang sesuatu akan memindahkan maklumat atau pengetahuan kepada pasangannya,” kata Pengarah Muzium Sejarah Semula Jadi di pusat itu, Bruno David.
Difahamkan, nama blob itu dinamakan sempena filem sains fiksyen seram yang dikeluarkan pada 1958 dan dibintangi Steve McQueen.
“Kami yakin ia bukan tumbuhan namun kami tidak pasti sama ada ia haiwan atau kulat. Ini kerana walaupun ia kelihatan seperti cendawan, ia ada sifat seperti haiwan dan boleh belajar,” kata David lagi. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!