Sanggup pakai baju 2.5kg untuk kurangkan berat bagasi
MANILA - Seorang penumpang kapal terbang membuat keputusan untuk memakai sebanyak mungkin pakaiannya selepas kakitangan daftar masuk memberitahu beg yang dibawa telah melebihi had berat.
Gel Rodriguez dari Davao City, Filipina enggan membayar caj tambahan dan mula memakai sehelai demi sehelai baju dan seluarnya sebelum dibenarkan menaiki pesawat.
Usahanya berhasil kerana kesemua baju yang dipakai mengurangkan berat beg sehingga 2.5 kilogram (kg).
Rodriguez turut memuat naik gambarnya yang memakai sekurang-kurangnya tiga pasang seluar panjang dan pendek, lima t-shirt dan tiga jaket di laman sosial Facebook.
Gambar berkenaan tular dan mendapat lebih 20,000 perkongsian serta 32,000 reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.
"Apabila kakitangan syarikat penerbangan beritahu hanya 7kg dibenarkan dibawa naik ke dalam pesawat.
"Saya: Tiada masalah. Bagasi daripada 9kg kepada 6.5 kg," tulisnya berserta tanda pagar #CabaranBagasiBerlebihanBeratDiterima.
Rata-rata pengguna media sosial memuji tindakan Rodriguez sebagai bernas dan original.
Menjawab soalan seorang pengguna adakah dia akan melakukannya lagi, dia menjawab "Mungkin tidak. Ia sangat panas. Saya juga tidak syorkan orang lain buat begitu," katanya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!