Ancaman ekstremis haluan kanan di Australia
SYDNEY - Pengganas haluan kanan menjadi ancaman yang semakin meningkat di Australia dan rangkaian ekstremis tersebut didakwa lebih teratur berbanding sebelum ini.
Perkara itu didedahkan menerusi laporan tahunan Pertubuhan Risikan dan Keselamatan Australia (ASIO) semalam yang mendakwa rangkaian haluan kanan kini juga lebih ‘canggih’.
“Ancaman golongan itu semakin meningkat sejak akhir-akhir ini. Serangan ganas dilancarkan pengganas kulit putih ke atas dua masjid di Christchurch, New Zealand yang meragut 50 nyawa pada Mac lalu telah menyebabkan ekstremis sayap kanan kini kembali menjadi tumpuan pihak berkuasa,” katanya.
Agensi risikan itu meramalkan serangan seumpama itu mungkin dilakukan oleh kumpulan kecil atau secara berseorangan dengan ‘keupayaan rendah’.
Namun, ia tidak menolak kemungkinan serangan dengan menggunakan senjata canggih.
Data ASIO menunjukkan ancaman pengganas di Australia kekal berada pada tahap tinggi dan ia menjadi masalah utama keselamatan di negara itu.
Pada Julai lalu, Canberra memperkenalkan undang-undang baharu antikeganasan yang melarang rakyat negara itu yang menyertai Daesh kembali ke tanah air untuk tempoh dua tahun.
Kerajaan mendakwa 80 daripada 230 rakyat mereka yang menyertai kumpulan militan itu di Syria dan Iraq masih aktif di zon konflik terbabit. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!