'Kerajaan perlu adil terhadap pemandu teksi, e-hailing'

Kamarudin (dua dari kiri) pada sidang media berhubung isu teksi dan perkhidmatan e-hailing di Sentul semalam.
Kamarudin (dua dari kiri) pada sidang media berhubung isu teksi dan perkhidmatan e-hailing di Sentul semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemandu teksi tidak menghalang perkembangan gig ekonomi dan perkhidmatan e-hailing namun meminta kerajaan bersikap adil dari segi pelaksanaan undang-undang.

Yang Dipertua Gabungan Teksi Malaysia (GTSM), Kamarudin Mohd Hussain berkata, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke membuat pusingan U terhadap penguatkuasaan undang-undang terhadap pemandu e-hailing.

"Kami percaya beliau (Anthony) sedang menggunakan jawatannya untuk melindungi kepentingan syarikat e-hailing khususnya Grab.

"Jika kerajaan benar-benar menguatkuasakan undang-undang di bawah Akta 333 Akta Pengangkutan Jalan 1987 sudah pasti syarikat e-hailing yang langgar peraturan akan bungkus.

"Dahulu Grab mendakwa ada 500,000 pemandu namun selepas kerajaan cuba melesenkan mereka jumlahnya kini hanya 70,000 pemandu yang layak," katanya pada sidang media isu pemandu teksi di Sentul di sini hari ini.

Kamarudin berkata, beliau yakin angka tersebut akan terus menunjukkan penurunan sekiranya kerajaan benar-benar menguatkuasakan undang-undang tegas tanpa kompromi.

"Kami bukan menghalang mana-mana pihak untuk mencari rezeki dalam industri kami tapi biarlah peraturan yang dikenakan sama adil dan tidak hanya menjaga kepentingan kroni sahaja.

"Sebagai contoh, apa keperluan kerajaan memberikan kelonggaran kepada pemilik kenderaan persendirian yang menggunakan kenderaan mereka sebagai pengangkutan awam untuk tidak menukar kod kegunaan di Jabatan Pengangkutan Jalan?.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimana dengan nasib pembeli kenderaan terpakai yang membeli kenderaan itu yang telah digunapakai sebagai pengangkutan awam dengan harga yang tinggi?," soalnya.

Katanya, GTSM akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap Grab dan Kementerian Pengangkutan Jalan serta laporan kepada Suruhanjaya Integriti serta SPRM.

"Sekalipun ia berkaitan gig ekonomi namun aktiviti kenderaan persendirian yang terlibat dengan komersil tertakluk di bawah Akta 333 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jangan perbodohkan rakyat, apa keperluan undang-undang jika hanya dilonggarkan untuk pihak tertentu dengan alasan gig ekonomi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!