Cadang parkir bertingkat di Stesen KTM Sungai Gadut
SEREMBAN - Kementerian Pengangkutan bersedia mempertimbangkan cadangan melaksanakan parkir bertingkat di Stesen Komuter KTM Sungai Gadut di sini.
Perkara itu disahkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook melalui panggilan telefon yang dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Muhamad Taufek Abd Ghani semalam selepas banjir kilat melanda kawasan parkir bawah tanah stesen kereta api itu.
Menurut Exco Belia dan Sukan itu, lebih 50 kereta di bahagian bawah tanah dan pekarangan stesen komuter terbabit ditenggelami air.
"Saya sudah menghubungi YB Anthony Loke dan beliau secara dasarnya bersetuju untuk melihat dan mengkaji semula tempat letak kereta di Stesen Komuter Sungai Gadut ini.
"Kita mencadangkan pembinaan parkir bertingkat bagi memastikan keselamatan kereta pengguna lebih terjamin. Kita tidak mahu perkara yang sama berulang," katanya ketika melawat lokasi itu malam tadi.
Tambahnya, pihaknya juga sudah berbincang dengan Perbadanan Aset Keretapi supaya dapat memberi pampasan kepada pemilik kenderaan yang terjejas.
"Kerajaan negeri ada menyediakan tabung bencana dan kita akan melihat maklumat mangsa terjejas terlebih dahulu sebelum tindakan lanjut dilakukan," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Sungai Gadut dilanda banjir kilat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!