Salahkah saya pilih Arja Lee? - Rendy Faliq
PENYANYI Rendy Faliq, 35, memilih Arja Lee sebagai rakan duet menerusi lagu baharunya yang berjudul Berpulang.
Menurut penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu runut bunyi drama Lelaki Kiriman Tuhan itu, pemilihan Arja adalah kerana kekuatan suaranya yang tersendiri, selain komited dalam bidang seni suara.
“Saya dah lama mengikuti perkembangan seni Arja. Apatah lagi dalam bidang muzik ini Arja seorang yang berbakat besar, malah dia juga pernah tampil dengan beberapa single.
“Arja pun menyambut baik pelawaan saya kerana dia berasakan sudah tiba masanya untuk membuat kemunculan semula di arena muzik selain belum ada single duet sebelum ini,” ujarnya kepada Sinar Harian.
Dalam masa sama, Rendy berkata, single duet ini dianggap sebagai cabaran baharu untuk menampilkan sesuatu yang berbeza dalam kerjaya seninya.
“Berkarya itu perlukan kreativiti. Bukannya saya tak mahu berduet dengan penyanyi perempuan, tetapi saya inginkan kelainan.
“Kalau kita lihat sekarang, jarang-jarang penyanyi lelaki berduet dengan lelaki dan begitulah sebaliknya. Jdai saya ambil cabaran ini sebagai kelainan.
“Saya tak rasa salah memilih Arja kerana bagi saya, apa yang penting adalah hasilnya,” jelasnya yang berharap semoga Berpulang diterima oleh peminat.
Tambah Randy, tajuk lagu tersebut dipetik daripada kamus Indonesia di mana Berpulang membawa maksud kepergian atau pulang ke rahmatullah, sekali gus menceritakan tentang seseorang yang kehilangan insan yang disayangi.
Lagu ciptaan sepenuhnya Randy dan diterbitkan oleh HotsoundRecord itu dijangka release pada 8 November depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!