Wanita maut dilanggar lari
KUALA SELANGOR - Seorang wanita yang melintas jalan maut dipercayai dilanggar lari di Kilometer 26 Jalan Klang-Teluk Intan, berhampiran Batu 13, Jeram di sini semalam.
Dalam kejadian jam 3.45 petang, mangsa R Hemawathy, 27, meninggal dunia selepas parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Md Asri A Wahab berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa berada di pembahagi tengah jalan melintas secara mengejut sebelum dilanggar lari oleh kenderaan jenis dan nombor pendaftaran yang belum dikenal pasti.
"Kenderaan itu datang dari arah Teluk Intan menghala ke Klang gagal mengelak lalu melanggar mangsa.
"Kemalangan itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.
Beliau memberitahu, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti kenderaan yang melanggar mangsa.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!