2 jam Najib beri keterangan di Bukit Aman

Najib ditemui pemberita selepas selesai memberi keterangan di Bukit Aman, hari ini.
Najib ditemui pemberita selepas selesai memberi keterangan di Bukit Aman, hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis merekod keterangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hampir dua jam untuk siasatan berhubung kenyataan yang dimuat naik di Facebook Nga Kor Ming Super Fans Page berbaur hasutan terhadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menurutnya, beliau dipanggil sebagai saksi berhubung kes terbabit.

"Saya memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis dan menyerahkan kepada mereka untuk siasatan dan keputusannya," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Bukit Aman hari ini.

Terdahulu, Najib hadir bersama peguamnya ke Bukit Aman kira-kira jam 11 pagi menaiki kereta Proton Perdana hitam sebelum keluar kira-kira jam 12.40 tengah hari.

Ketika ditanya sama ada beliau akan dipanggil semula, Najib menjawab, tidak.

"Dalam proses (rekod keterangan) tadi, mereka bertanyakan tentang posting yang dimuat naik itu. Selainnya saya tidak boleh dedahkan kerana masih dalam siasatan," katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kehadiran bekas perdana menteri itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming sebelum ini dilapor menggesa polis menyiasat Facebook 'Najib Razak' yang memuat naik hantaran didakwa berbaur fitnah pada 30 September lepas.

Artikel Berkaitan:

Najib menerusi perkongsian di Facebook menggesa kerajaan mengambil tindakan terhadap Nga berhubung satu kenyataan didakwa berbaur hasutan terhadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang dimuat naik melalui satu hantaran di akaun Facebook.

Pada 29 September tular di media sosial mengenai hantaran yang dimuat naik di Facebook ‘Nga Kor Ming Super Fans Page’ yang didakwa mengajak kaum Cina melakukan protes terhadap Sultan Selangor berhubung keputusan tidak membenarkan penggunaan tanda jalan dwi bahasa di Selangor.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!