Kecoh kes buli di Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah

Gambar tular menunjukkan mangsa kini dirawat di HKL
Gambar tular menunjukkan mangsa kini dirawat di HKL
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang sebelum ini pernah menjadi perhatian umum akibat kebakaran yang mengorbankan 23 nyawa kembali menjadi sebutan beberapa hari lalu susulan penularan kes buli.

Kes terbaru itu dikongsi pengguna Facebook, Dahlanmahyuddin Dellmahuddin yang mendakwa seorang pelajar menjadi mangsa buli dan disimbah air panas ketika sedang tidur dan melecur pada bahagian belakang badan serta perut.

Tulis Dahlanmahyuddin Dellmahuddin "Kejadian berlaku di tahfiz yang terbakar dahulu dekat Kampung Datuk Keramat dan mangsa ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL),"

Pengetuanya, Muhammad Zahid Mahmod ketika dihubungi menjelaskan, insiden pada Rabu lalu bukan kes buli seperti didakwa sebaliknya perselisihan faham dan saling ejek-mengejek antara dua pelajar berusia 12 tahun.

Menurutnya, pihaknya mengesan insiden pergaduhan kedua-kedua pelajar berkenaan sebelum hari kejadian yang telah dileraikan dengan nasihat dan teguran dalam kelas pengajian.

"Pada malamnya, saya telah memanggil kedua-dua ibu-bapa pelajar berkenaan untuk berbincang. Kami sangka perbalahan selesai selepas pertemuan tersebut.

"Bagaimanapun, pada sekitar jam 4 pagi pelaku bertindak demikian ketika mangsa sedang tidur menyebabkan beberapa bahagian anggota badannya melecur," katanya.

Muhammad Zahid menafikan keadaan mangsa melecur separuh badan seperti ditularkan.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa melecur pada bahagian belakang badan dan sedikit di bahagian perut selepas disimbah dengan air panas.

"Kami menghantar mangsa ke hospital selepas kejadian dan difahamkan mangsa perlu dirawat beberapa hari sebelum dibenarkan keluar," katanya.

Katanya, kes tersebut telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut sementara pelaku telah direhatkan untuk siasatan.

"Pelaku sudah dua tahun belajar di tahfiz sementara mangsa baru enam bulan di sini. Pelaku sebelum ini tidak ada sebarang masalah disiplin.

"Biasanya kalau pelajar itu bermasalah mereka tidak akan mampu tinggal lama di tahfiz namun pelaku sudah dua tahun belajar di sini. Insiden ini adalah di luar kawalan kami," katanya.

Menurutnya, kejadian itu mengakibatkan ada pihak yang mengambil kesempatan menularkan maklumat kurang tepat kerana kurang senang dengan operasi tahfiz.

"Susulan kejadian kebakaran pada 2017, kami menerima kawan dan juga lawan. Saya sedang diuji dan menerima dugaan ini dengan tenang atas niat kerana ALLAH SWT.

"Mungkin ada hikmahnya dengan kejadian ini, setidak-tidaknya membuka mata orang awam untuk mengingati kembali tahfiz kami," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!