'Saya tak mampu, tolong jaga Farish Azwan'

Nota yang diselitkan bersama bayi yang ditemui di belakang rumah di FELDA Palong 8, Jempol.
Gambar kanan: Bayi lelaki yang ditinggalkan di belakang rumah sebuah keluarga malam tadi.
Nota yang diselitkan bersama bayi yang ditemui di belakang rumah di FELDA Palong 8, Jempol. Gambar kanan: Bayi lelaki yang ditinggalkan di belakang rumah sebuah keluarga malam tadi.
A
A
A

JEMPOL - Seorang bayi lelaki ditemui atas meja di belakang sebuah rumah penduduk di Felda Palong 8 dekat sini, malam tadi.

Penghuni rumah berkenaan menemui bayi itu dalam keadaan berbalut berserta sehelai nota yang ditinggalkan.

Nota ditinggalkan itu turut memaklumkan nama bayi tersebut adalah Farish Azwan dan meminta jagakan bayi itu sampai besar.

"Saya minta tolong jagakan budak ini sampai besar. Saya tak mampu jaga sebab saya ibu tunggal. Tolong jangan hantar ke kebajikan/pengasuh. Saya amanahkan kepada keluarga ini untuk jaga anak ini. Saya hanya mampu tengok dari jauh. Nama ‘baby’ ini Farish Azwan.” tulis nota itu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, bayi itu ditemui jam 10.15 malam oleh penghuni rumah yang keluar untuk mengambil barang di dalam kereta.

Katanya, lelaki berusia 25 tahun itu menemui bayi terbabit yang ditinggalkan atas meja di belakang rumah mereka.

“Lelaki itu kemudiannya memanggil ibunya sebelum memeriksa bayi terbabit dan didapati masih hidup.

“Dia turut menemui sekeping nota yang ditinggalkan bersama bayi itu lalu menghubungi polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, bayi itu kemudiannya dibawa ke Hospital Jempol untuk rawatan.

Katanya, bayi terbabit akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, polis sedang giat mengesan ibu kepada bayi itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!