Menyamar anggota polis minta sumbangan
KLANG - Dua individu bukan sahaja menyamar sebagai anggota polis dari Bukit Aman, namun turut memperkenalkan diri sebagai wakil Pusat Penghuni Rumah Kediaman Polis untuk meminta sumbangan daripada seorang pemilik kilang di Kapar di sini.
Bagaimanapun, tindakan mereka terbongkar apabila mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, kedua-dua suspek menemui mangsa untuk meminta sumbangan sebanyak RM4,000 bagi membiayai kos penerbitan sebuah majalah
"Hasil daripada siasatan yang dijalankan, polis kemudiannya berjaya menahan suspek.
"Seorang lagi suspek ditahan tidak beberapa lama kemudian dan dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut
"Kedua-dua suspek warga tempatan berusia antara 34 dan 48 tahun itu mengaku sebagai anggota polis dari Bukit Aman," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara di sini hari ini.
Nurulhuda berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti tujuan suspek terlibat dalam kes penyamaran tersebut.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan.
"Polis juga berjaya merampas tiga keping kad kuasa Persatuan Penghuni Rumah Kediaman Polis, dua fail, sekeping kad nama dan sebuah buku," katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dengan mana-mana individu yang mengedar risalah untuk memohon sumbangan bagi mana-mana pihak.
"Setiap individu atau syarikat boleh berhubung dengan pihak polis untuk merujuk sebarang kes berkaitan aktiviti penyamaran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!