Amsyar ceria masuk sekolah
TANJONG DAWAI - Tahun 2019 membuka lembaran baharu buat Muhammad Faris Amsyar, 7, yang mengalami kecacatan fizikal sejak lahir kerana bergelar murid di Sekolah Kebangsaan Tanjung Dawai.
Biarpun berstatus orang kurang upaya (OKU), namun semangat kental dan keberanian yang dimiliki mampu memberi inspirasi buat sesiapa sahaja yang melihatnya.
Kekurangan itu bukan penghalang malah, dia dilihat sentiasa ceria biarpun terpaksa berjalan menggunakan tangan.
Ibunya, Maryam Hamdan, 32, dari Kampung Huma berkata, sejak hari pertama persekolahan, anak sulung dari dua beradik itu kelihatan sangat gembira kerana berkesempatan berkenalan dengan kawan baharu.
Menurutnya, selepas pulang dari sekolah, Amsyar sempat berkongsi kegembiraan dengan adiknya, Auni Madihah, 1, selain menceritakan pengalamannya berdepan hari pertama persekolahan.
“Alhamdulillah, tengok dia pun boleh berdikari, cikgu dan pihak sekolah banyak membantu. Lagipun kelas dia paling dekat dengan kantin, jadi mudah dia nak bergerak,” katanya.
Maryam berkata, Amsyar cukup aktif dan dalam masa sama mudah mesra dengan sesiapa sahaja.
Tahu bayi bermasalah ketika kandungan 7 bulan
Menceritakan kisah anak istimewa berkenaan, katanya, dia dan suami telah dimaklumkan doktor bahawa terdapat masalah terhadap perkembangan anak ketika itu berusia tujuh bulan dalam kandungan.
“Bila keluar (bersalin), kami agak terkejut melihat keadaan dia, walaupun dah bersedia dari awal, tetapi perasaan sedih tetap ada apabila memikirkan bagaimana masa depan dia.
“Sepanjang di wad, saya lihat ada anak lain lagi teruk derita sakit kronik, saya mula pujuk hati saya agar cepat-cepat ingat kebesaran dan ujian ALLAH.
“Perasaan sedih itu lama-lama hilang bila tengok dia membesar depan mata. Tambahan pula, dia senang dijaga, cepat berdikari seperti budak-budak lain, makan sendiri, mandi sendiri,” katanya.
Tindakan menyekolahkan Amsyar dilakukan hasil perbincangan dengan suami, Saimie Salleh, 46, yang mahukan anak mereka tetap mendapat akses pendidikan sempurna seperti kanak-kanak lain.
“Sebelum ni, kami ada tanya sekolah aliran pendidikan khas, tapi depa habaq Amsyar boleh masuk sekolah biasa sebab dia tak ada masalah pembelajaran cuma fizikal sahaja yang tak sama.
“Lega sebab sekolah ni paling dekat dengan rumah, kalau ada apa-apa, kami boleh sampai dengan cepat,” katanya.
Sekolah sedia kemudahan
Sementara itu, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Muda Yan (Pendidikan Swasta & Pendidikan Khas), Azhar Abu Bakar berkata, pihaknya akan memastikan keperluan untuk Amsyar di sekolah terbabit disediakan sebagai galakan kepada murid berkenaan.
Menurut Azhar, kemudahan itu sama ada kerusi roda dan kemudahan lain untuk OKU akan diusahakan secepat mungkin berdasarkan penilaian Guru Besar, Ku Rizwan Ku Ibrahim.
Dalam masa sama, Amsyar turut dikunjungi Ahli Parlimen Merbok, Nor Azrina Surip yang mahu melihat secara lebih dekat sesi pembelajaran murid Tahun Satu itu.
“Kisah adik Amsyar boleh memberi inspirasi buat semua agar terus berusaha dalam menuntut ilmu walaupun berdepan pelbagai halangan dan rintangan,” katanya kepada Sinar Harian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!