'Hanya tengok orang disamun tapi tiada yang tolong'
CHERAS - Individu yang merakam kejadian samun yang videonya tular mengundang kecaman netizen kerana dia tidak membantu individu disamun itu.
Lebih menyedihkan, orang ramai yang berada di kawasan sekitar kejadian tidak tampil membantu individu terbabit walaupun dalam rakaman tersebut kedengaran suara meminta tolong.
Video berdurasi 30 saat itu dimuat naik di Facebook dan kini tular di media sosial dengan menggunakan posting yang sama memberitahu 'Kes samun di Cheras. Syabas perakam dan penonton'.
Bagaimanapun pada akhir video berkenaan dipaparkan orang ramai cuba mendekati mangsa apabila individu yang dipercayai penyamun beredar daripada tempat kejadian.
Status tersebut kini telah meraih 10,000 tontonan walaupun baharu sahaja dimuat naik awal pagi tadi yang mendapat pelbagai tanda reaksi dan komen daripada pengendali Facebook.
Kata Nor Azura Othman "Apa dah jadi dengan orang sekeliling itu, kena santau ke tak boleh buat apa-apa. Melolong minta tolong itu, kenapa semua buat tak tahu,".
Intan Hayati pula berkata, "Apa kau ingat orang itu sedang buat drama," tulisnya sebagai reaksi kepada kejadian tiada orang menghulurkan bantuan kepada mangsa samun itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!