Ajal main badminton, guru besar tak sempat hadir konvokesyen anak

Mangsa dipercayai rebah dan meninggal dunia selepas bermain badminton di Dewan Sri Bernam di sini
Mangsa dipercayai rebah dan meninggal dunia selepas bermain badminton di Dewan Sri Bernam di sini
A
A
A

SUNGAI BESAR - Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 38 yang rebah dan meninggal dunia selepas bermain badminton sepatutnya bertolak ke Johor hari ini bagi menghadiri majlis konvokesyen anak keduanya yang dijadualkan berlangsung esok.

Abangnya, Idris ismail, 62, berkata, arwah adiknya, Japri Ismail, 53, merancang singgah mengambil anak bongsunya terlebih dahulu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam ini sebelum bertolak ke Johor.

"Saya dimaklumkan arwah bercadang bertolak malam ini dan singgah ke KLIA mengambil seorang lagi anaknya dari Sabah untuk menghadiri majlis graduasi terbabit.

"Namun, hasrat arwah untuk melihat hari bersejarah anaknya itu tidak kesampaian apabila pergi buat selamanya," katanya.

Idris memberitahu, arwah sempat membalas ucapan terima kasih kepada keluarga yang mendoakan kesejahteraan sempena sambutan ulang tahun kelahirannya melalui kumpulan WhatsApp keluarga, kelmarin.

"Arwah meninggal dunia sehari selepas ulang tahun kelahiran. Apa yang saya ingat arwah ada membalas ucapan, eh malu kita. Terima kasih," katanya.

Menurutnya, arwah adiknya itu disifatkan seorang yang ceria, baik hati dan amat menggemari sukan badminton.

"Biasanya kalau Japri berkumpul dengan anak saudaranya, arwah suka bercerita dan amat rapat dengan keluarga serta sanak-saudara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Idris memberitahu, dia mengetahui kejadian ketika berada di rumahnya di Shah Alam selepas dihubungi isteri arwah pada jam 11.15 malam tadi.

"Saya seolah-olah macam bermimpi sejurus mendapat khabar itu, apatah lagi baharu sahaja terlelap, namun saya reda dan serah pada ketentuan-Nya," katanya.

Sementara itu, jenazah Japri dibawa ke rumahnya di Taman Gemilang dan kemudiannya disembahyangkan di Masjid Taman Padu Permai sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Limau selepas solat Jumaat tadi.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan, Japri meninggal dunia selepas bermain badminton di Dewan Sri Bernam di sini malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, isterinya dihubungi seorang rakan mangsa kira-kira jam 11.15 malam tadi memaklumkan suaminya itu pitam di tempat kejadian.

Bagaimanapun, katanya, sejurus isteri mangsa tiba di gelanggang badminton pegawai perubatan mengesahkan suaminya itu telah meninggal dunia.

ARTIKEL BERKAITAN Guru besar meninggal selepas main badminton

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!