Guru agama hilang ditemui selamat
Nur Najiha Rahimi, 25, ditemui dalam keadaan selamat di Bandar Permaisuri, di sini kira-kira jam 9.30 malam tadi oleh anggota polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Setiu.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris ketika mengesahkan perkara itu berkata, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Setiu menemui kereta guru tersebut Perodua Bezza di tempat parkir depan sebuah bank berhampiran persimpangan lampu isyarat Bandar Permaisuri.
Menurutnya, anggota polis terbabit mendapati guru agama terbabit berada dalam kereta tersebut namun dalam keadaan keletihan.
"Ketika ditemui, enjin dan penghawa dingin kereta dimatikan tetapi hanya blower dibuka," katanya.
Zulkifli berkata lagi, guru tersebut kemudiannya dihantar ke Hospital Setiu untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut.
Menurutnya, ibu bapanya dari Kuala Terengganu yang dihubungi sejurus dia dijumpai tiba di sini tidak lama kemudian.
Kes kehilangan Najiha menjadi tular di media sosial sejak petang semalam selepas ahli keluarga membuat laporan polis di Balai Polis Jertih ekoran dia tidak dapat dikesan selepas keluar dari kawasan sekolah jam 6 petang Isnin lepas.
Menurutnya, usaha waris mengesan Najiha sebelum ini buntu sehinggalah dia ditemui polis malam tadi.
Najiha yang dikatakan bertugas di sekolah agama itu sejak dua tahun lalu berada di sekolahnya pada Isnin lepas bagi tujuan pendaftaran pelajar baru sebelum keluar dengan memandu keretanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!