Mahkamah rayuan tolak permohonan batal ikat jamin Jamal
PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan pendakwaan untuk membatalkan ikat jamin terhadap Ketua UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang berdepan dengan tiga pertuduhan melarikan diri daripada tahanan dan menceroboh premis.
Hakim, Datuk Yaacob Md Sam yang mempengerusikan panel tiga hakim berpendapat bahawa tidak timbul isu Jamal melanggar syarat bon jaminan kerana terlebih dahulu ia tidak dilaksanakan.
"Kami bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah ikat jamin dan jumlah jaminannya,” katanya ketika menolak rayuan pendakwaan dengan sebulat suara.
Dua hakim lain dalam panel tersebut ialah Datuk Zabariah Mohd Yusof dan P. Ravinthran.
Pada 31 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan Jamal dibebaskan dengan ikat jamin RM20,000 dengan tiga penjamin berlainan selepas membenarkan permohonan semakan keputusan Mahkamah Majistret Ampang yang membatalkan perintah ikat jamin.
Yaacob bagaimanapun berkata, mahkamah berpendapat pelaksanaan ikat jamin itu seharusnya dilakukan di mahkamah rendah dan memerintahkan jaminan itu dilaksanakan semula di Mahkamah Majistret dengan jumlah dan syarat yang sama yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi.
Beliau kemudian menetapkan Isnin ini untuk Jamal tampil di Mahkamah Majistret Ampang untuk pelaksanaan semula perintah ikat jamin tersebut.
Jamal dibenarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi dua kes ceroboh pusat perjudian di Ampang dengan dua penjamin dan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kesalahan melarikan diri dari sebuah hospital di Ampang.
Dia didakwa bersama-sama empat yang masih bebas melakukan pencerobohan di Kedai Happy Toys, No.23, Jalan Kosas ½, Taman Kosas, Ampang pada 29 Disember 2016 serta didakwa melakukan perbuatan sama bersama-sama seorang lagi yang masih bebas di Kedai Starcom Trading dan Services, No.23 & 25, Jalan Kosas 13, di taman yang sama pada hari yang sama.
Pada 5 Julai tahun lalu, Jamal mengaku tidak bersalah atas tuduhan melarikan diri daripada jagaan pihak polis di Hospital Pakar Ampang Puteri, Ampang, antara jam 2 dan 3 petang pada 25b Mei 2018.
Jamal diwakili peguam,Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!