Kebajikan peneroka Felda: Kerajaan jangan hanya berjanji
GUA MUSANG - Kerajaan diingatkan supaya melaksanakan segera Belanjawan 2020 bagi membantu kebajikan peneroka Felda.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Amran Arifin berkata, peruntukan sebanyak RM810 juta yang diumumkan pada Belanjawan 2020 untuk membantu warga Felda disambut baik dan diharap dapat mengatasi isu-isu yang berbangkit selama ini.
Katanya, penghapusan kira faedah pinjaman peneroka yang diperuntukkan melalui bajet sebanyak RM300 juta perlu dilaksanakan segera.
"Inisiatif RM250 juta untuk membantu meningkatkan pendapatan peneroka melalui tanaman kontan hanya disasarkan membantu 11,600 peneroka.
"Sebaliknya 112,635 peneroka Felda berharap harga sawit yang stabil bagi memberi pulangan pendapatan yang lebih baik.
"Begitu juga peruntukan RM70 juta untuk perumahan generasi baru Felda yang diharapkan dapat diagihkan kepada projek perumahan generasi baru Felda di Felda Chiku 5, Gua Musang," katanya.
Katanya lagi, peruntukan sejumlah RM90 juta untuk menaik taraf jalan dan infrastruktur asas di kawasan Felda itu merupakan komitmen tahunan Felda untuk kesejahteraan hidup warganya.
"Peruntukkan RM100 juta bagi bekalan air pula diharap dapat mengatasi isu berkaitan masalah air yang dihadapi oleh peneroka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!