Bot nelayan Vietnam ditahan
KUALA BESUT - Cawangan Taman Laut dan Perlindungan Sumber, Jabatan Perikanan Malaysia Besut menahan sebuah bot nelayan laut dalam dipercayai menangkap ikan di kawasan tidak dibenarkan di perairan Pulau Perhentian, di sini.
Ketua Operasi, Ahmad Imran Mohamad berkata, dalam kejadian jam 6.45 pagi itu, pihaknya turut menahan lima kru bot warga Vietnam termasuk tekong yang berusia antara 20 hingga 45 tahun.
Menurutnya, bot tempatan yang berpangkalan di Tok Bali, Pasir Putih Kelantan ditahan atas kesalahan menangkap ikan kurang dari 12 nautika dari Pulau Perhentian.
“Sebuah bot laju yang sedang melakukan operasi rutin telah terserempak dengan bot tersebut yang sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat tunda dalam kawasan enam batu nautika dari Tanjung Basi berhampiran pulau,” katanya.
Ahmad Imrah berkata, pihaknya telah menahan bot tersebut yang membawa hasil tangkapan lebih kurang 2 metrik tan.
“Kesemua kru tersebut dibawa ke Kuala Besut untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 sebelum dibebaskan dengan jaminan manakala bot yang ditahan ditempatkan di Tok Bali dan semua hasil tangkapan disita,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!