Penyakit sombong meracuni diri
SEBETULNYA sombong bukanlah lagi suatu sikap tetapi sebenarnya suatu penyakit. Apabila dikelompokkan sebagai penyakit, maka perlulah dirawat penyakit sombong tersebut.
Pun begitu, penyakit itu amat sukar dirawat kerana empunya diri tidak pernah mengakui bahawa mereka ada penyakit berkenaan. Tambahan pula, penyakit sombong ini tidak boleh dikesan secara saintifik sebagaimana penyakit biasa.
Justeru, hanya masa yang menentukan bila seseorang itu sedar bahawa mereka sebenarnya sombong. Namun hanya kesedaran yang benar-benar ikhlas yang dapat merawat serta mengikis segala sikap sombong yang mendiami hati selama ini.
Sebahagian salaf menyatakan bahawa kesombongan adalah dosa yang pertama kali terjadi kepada ALLAH sebagaimana firman: “Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat; Sujudlah kalian kepada Adam, maka sujudlah mereka kecuali iblis. Dia menolak dan menyombongkan diri dan dia termasuk golongan orang yang kafir." (Surah al-Baqarah, 2:34).
Berkaitan hal itu, walaupun kita semua mengetahui bahawa Nabi Adam juga pernah melakukan kesalahan kepada ALLAH, namun dosa beliau diampuni oleh ALLAH kerana bersikap rendah diri dan begitu kesal dengan kesalahan yang telah dilakukan sebelum ini. Justeru, sikap sombonglah yang menyebabkan Iblis tidak dimaafkan oleh ALLAH.
Hakikatnya, seruan agar manusia jangan bersifat sombong seringkali diberikan peringatan oleh ALLAH. Malah ALLAH telah berfirman: “Dan janganlah kamu memalingkan wajahmu daripada manusia (kerana sombong) dan janganlah berjalan di bumi ini dengan angkuh. Sesungguhnya, ALLAH tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membanggakan diri.” (Surah Luqman, 31:18).
Selain itu, Abdullah ibnu Mas’ud pernah berkata bahwa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak akan masuk syurga seseorang yang dalam hatinya terdapat kesombongan sebesar biji sawi.” Ada seseorang yang bertanya: “Bagaimana dengan seseorang yang suka memakai baju dan sandal yang bagus.” Rasulullah menjawab: “Sesungguhnya, ALLAH itu indah dan menyukai keindahan. Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan orang lain.” (Hadis riwayat Muslim).
MerendahkanMenurut pakar psikologi, sifat angkuh dan sombong ini boleh didefinisikan sebagai individu yang berasa diri mereka lebih hebat, bernilai dan begitu penting berbanding dengan orang lain serta gemar merendahkan sesiapa sahaja yang tidak disukainya. Sebetulnya bukan mudah hendak mengubah sikap tersebut kerana sudah menjadi sebahagian daripada mekanisme helah bela diri atau defense mechanism. Helah belah diri, secara prinsipnya membantu individu agar tidak berasa rendah diri, takut serta tidak selamat.
Oleh itu, sifat sombong bagus untuk meningkatkan harga diri mereka kerana menjadikan mereka lebih berani, berkeyakinan serta menjadi pusat perhatian orang lain. Namun dalam jangka masa panjang ia boleh meracuni diri kerana mereka akan kesepian dan bersendirian.
Penyakit sombong juga disebabkan mereka telah mencapai kejayaan yang cukup tinggi di mana orang lain tidak berupaya mencapai kejayaan sepertinya. Malah penyakit sombong juga berlaku kerana ingin mendapatkan perhatian daripada orang lain.
Di antara ciri-ciri mereka yang berpenyakit sombong ialah suka dipuji dan bercakap tentang kehebatan dan kejayaan dirinya.
Selain itu, mereka juga pandai memuji orang lain namun tidak bertahan lama kerana akan menikam balik orang yang dipuji tersebut jika melebihi daripadanya.
Kebiasaannya, mereka tidak mempunyai ramai kawan bukan kerana orang lain tidak mahu mendekati mereka, namun mereka yang sebenarnya tidak perlukan kawan. Hanya individu tertentu yang boleh menjadi kawan mereka. Malah, mereka tidak pernah berasa salah serta payah hendak meminta maaf.
Selain itu, mereka juga payah menerima teguran dan akan menyerang balik jika berasa dirinya diserang. Tambahan pula, mereka akan mengkritik sesiapa sahaja yang tidak disukainya walaupun di depan khalayak ramai.
Hakikatnya, tidak sedikitpun perangai tersebut memanfaatkan dirinya dan juga orang lain.
Berdoalah secara istiqamah agar kita dijauhkan penyakit sombong ini.
* Prof Dr Huzili ialah Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!