Kesan komuniti diaspora
SEPERTI satu kelaziman buat bandar utama dunia untuk mempunyai tempat-tempat khusus sinonim dengan bangsa tertentu. Sebagai contoh, Chinatown, Little Italy atau Little India begitu sinonim dengan metropolis besar seperti London, New York dan Kuala Lumpur.
Tempat-tempat itu selalunya wujud dan didominasi oleh bangsa-bangsa tertentu sebagai sebahagian daripada usaha mengekalkan identiti dan menyebarkan diaspora para penghijrah.
Bagi yang tidak tahu apa itu diaspora, ia merujuk kepada pergerakan atau penghijrahan (secara sukarela atau terpaksa) sesuatu bangsa dari tanah air asal nenek moyang mereka ke tanah asing dan penghijrahan itu tidak melunturkan malah lebih kuat serta komited secara peribadi mengaitkan pembentukan identiti dengan budaya, adat resam dan amalan dari negara asal walaupun berada di negara asing.
Menariknya dalam satu laporan berita oleh Perbadanan Penyiaran British (BBC) sekitar tahun 2010, antara diaspora Asia terbesar di luar Asia Tenggara adalah diaspora India.
Menurut BBC, diaspora India di luar negeri dianggarkan lebih daripada 27 juta tersebar hampir di seluruh rantau dan benua bumi ini, kedua di belakang diaspora China (sekitar 50 juta).
Diaspora itu membentuk komuniti global yang pelbagai, heterogen dan eklektik yang mewakili kawasan, bahasa, budaya dan agama yang berlainan.
Disebabkan itulah BBC sendiri kondusif dengan kewujudan mereka sampaikan ada berita disiarkan dalam bahasa Hindi, Marathi, Urdu dan Tamil.
Berbanding dengan diaspora lain seperti Cina, Arab mahupun Yahudi, diaspora India lebih memperlihatkan sisi uniknya untuk cenderung kepada tanah asal India. Pergilah ke mana-mana pun, kalau ada komuniti India, sudah pasti didapati bahasa, budaya, agama, amalan dan adat resam mereka utuh dan serupa dengan negara asal.
Tokoh-tokoh berketurunan India seperti jaguh golf, Vijay Singh (Fiji); pengarah filem Hollywood, M Night Shyamalan (Amerika Syarikat) ataupun pencipta speaker BOSE, Amar Bose (Kanada) antara contoh perkara itu.
Walaupun berjaya di negara asing, mereka tidak sesekali melupakan amalan, adat resam dan budaya asal.
Mengapa diaspora India begitu kuat dan berpengaruh? Beberapa faktor dilihat membantu dalam kejayaan itu.
Pertama, sudah tentu faktor penerapan budaya dan tradisi yang berjaya diterapkan dengan berkesan sebagai norma sosial yang banyak dipupuk secara halus menerusi filem dan hiburan.
Bollywood dan Kollywood bukan sahaja antara eksport India yang berjaya malah berperanan sebagai ejen propaganda membentuk nostalgia, kenangan dan romantisisme-nasionalisme yang memaut perasaan Non-Resident Indian (NRI) kepada tanah asal mereka.
Kedua, penciptaan ‘komuniti bayangan’ terma yang digunakan oleh Benedict Anderson iaitu satu fenomena pembentukan solidariti mirip nasionalisme bayangan yang menyatukan diaspora India global walaupun mereka tidak pernah bersua muka.
Komuniti bayangan yang imitatif sifatnya menjadikan diaspora India global seperti bersaudara dan merasa apa yang berlaku kepada kelompok mereka.
Kes kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dan masyarakat India berketurunan Tamil di Malaysia adalah contoh terbaik bagaimana komuniti bayangan ini wujud.
Tanpa perlu mengulas lanjut apa yang sedang berlaku dalam kes itu, ia memperlihatkan bagaimana bayangan tentang konflik di antara kerajaan Sri Lanka dan LTTE yang didokong oleh orang Tamil di Sri Lanka telah disambut segelintir masyarakat India berketurunan Tamil di Malaysia.
Konflik itu dijadikan asas bayangan bagi menarik simpati dan solidariti orang Tamil bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia.
Begitulah hebatnya kuasa diaspora. Sanggup bermatian kerana masalah orang di tempat lain sampai lupa dengan masalah dan rumah sendiri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!