Lupakan dulu projek kereta terbang

A
A
A

NAMPAKNYA kita masih beria benar untuk merealisasikan projek kereta terbang.

Perkara itu kedengaran lagi di Parlimen, disuarakan wakil Barisan Nasional (BN) Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang ingin tahu tarikh spesifik projek kereta terbang dilancarkan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, prototaip kereta terbang juga dijangka dilancarkan akhir tahun ini.

Malah menteri itu begitu yakin bahawa perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang hanya mengambil selama sejam dengan menggunakan kereta terbang.

Konon pihak swasta, usahawan dan pembekal teknologi tinggi dalam perbincangan untuk menjadikan kereta terbang satu kenyataan, bukan impian.

*MENTERI begitu yakin, tetapi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri mengakui angan-angan kereta terbang itu bukan mudah hendak direalisasikan.

Menurut beliau, belum masanya lagi untuk kita ke Pulau Pinang menaiki kereta terbang, kerana banyak peraturan dan undang-undang kena dibuat untuk menggunakan kereta terbang.

Kata Dr Mahathir, kalau semua orang menggunakan kereta terbang 'takut terjadi pula trafik jam di udara!'

Pendek kata, walaupun sesetengah pihak begitu beria benar dengan projek kereta terbang, bagi pihak lain ia masih sesuatu yang bukan mudah dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

Bagi rakyat biasa, projek kereta terbang itu lupakanlah dulu. Banyak lagi perkara lain yang lebih mendesak perlu diberi keutamaan dan diatasi.

Kereta terbang, bagi kebanyakan orang, masih lagi angan-angan Mat Jenin!

*SEBELUM berangan dengan cita-cita tinggi untuk kereta terbang, ada baiknya kita merenung apa yang jelas terjadi di hadapan mata.

Sebagai contoh, operasi Mara Digital Mall di dua negeri dihentikan memandangkan kadar jualan yang rendah dan tidak setimpal dengan kos operasi perniagaan.

Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memberitahu Parlimen, jualan yang rendah menyebabkan penyewa mengambil keputusan untuk tidak meneruskan operasi di premis itu.Mara Digital Kuantan dihentikan Disember 2018 dan Mara Digital Johor Bahru pada Februari 2019. Mara Digital Mall di Medan Mara Kuala Lumpur hidup segan mati tak mahu.

Dulu kita beria benar hendak mewujudkan Digital Mall Mara untuk berlawan dengan Digital Mall bukan Melayu di pusat beli-belah di Kuala Lumpur.

Tetapi jelas kita tidak bertahan lama. Tidak tahu apa kurangnya, orang Melayu sendiri pun lebih senang membeli keperluan digital di kedai bukan Melayu.

Mara bercita-cita besar, berbelanja RM berjuta-juta menyediakan ruang niaga dan modal untuk mewujudkan usahawan digital bumiputera.

Terbukti jutawan digital Melayu hanyalah angan-angan Mat Jenin. Agaknya itu ada kena-mengena dengan maruah Melayu. Macam mana hendak merealisasikan kereta terbang?

*POLITIK kini dikomikkan, dan diedarkan secara bebas untuk mempengaruhi pelajar sekolah.

Ibu bapa ternyata tidak bersetuju pelajar sekolah di negara ini dilibatkan dengan bahan bacaan bersifat propaganda politik apatah lagi menjadikan ia sebagai bahan dalam pembelajaran.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Subang Bestari 2, Mohd Sani Awang berkata, dalam usia muda pemikiran pelajar tidak seharusnya mengambil tahu mengenai politik.

Media melaporkan, kandungan komik itu langsung tidak bersifat akademik sebaliknya hanya bersifat politik yang mempunyai agenda tertentu.

Mengapa komik seperti itu diterbitkan dan disasarkan kepada pelajar? Kementerian Pendidikan patut peka dalam hal-hal seperti ini.

*AKHIR kalam, ada bukti menunjukkan pegawai kawalan sempadan terlibat dalam rasuah yang menyebabkan penyeludupan dan pembolosan sempadan berleluasa di utara tanah air.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya berkata, agensi itu mengumpulkan ribuan video menunjukkan aktiviti tersebut.

Beliau turut menayangkan kepada media satu rakaman video sepanjang lebih 15 minit menunjukkan aktiviti penyeludupan dan pembolosan sempadan tersebut.

“Video hari ini menunjukkan aktiviti penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis.

“Kami juga mempunyai ribuan video dan bukti kukuh mengenai aktiviti yang sama di Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Kelantan,” kata beliau.

Syabas SPRM yang baru tahu dan mendedahkan perkara itu.

Untuk pengetahuan SPRM, orang ramai sudah lama tahu hal ini. Rasuah di sempadan bukan benda baharu. Bertindaklah segera sebelum keadaan menjadi lebih parah!

- TOK PERAK

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!