Duterte beri 'lesen' untuk membunuh

Leftenan Kolonel Jovie Espenido (kiri) dan Presiden Manila, Rodrigo Duterte.- Foto CNNPH
Leftenan Kolonel Jovie Espenido (kiri) dan Presiden Manila, Rodrigo Duterte.- Foto CNNPH
A
A
A

MANILA - [DIKEMASKINI] Presiden Filipina, Rodrigo Duterte dilaporkan memberi 'lesen' untuk membunuh kepada seorang pegawai kanan polis yang baharu ditugaskan ke bandar Bacolod, Pulau Negros.

Arahan tersebut dikeluarkan Duterte kepada Leftenan Kolonel Jovie Espenido yang sebelum ini terlibat dalam operasi dadah berprofil tinggi yang menyebabkan kematian dua orang datuk bandar.

Bercakap dalam satu pertemuan bersama ahli perniagaan di Manila kelmarin, Duterte berkata, Espenido bertanggungjawab melaksanakan 'perang' antidadah kerajaan di bandar Bacolod yang dihuni lebih 560,000 orang penduduk.

"Bacolod dibelenggu isu dadah yang teruk. Kini saya menempatkan Espenido di sana.

"Pergi ke sana dan anda bebas untuk membunuh sesiapa sahaja. Kemudian kita berdua akan masuk penjara," kata Duterte yang melantik Espenido sebagai timbalan pengarah polis untuk operasi di Bacolod, Rabu lalu.

Terdahulu, Duterte memecat Ketua Polis Bacolod dan empat lagi pegawai polis kerana terlibat dengan dadah.

Tidak mempedulikan amaran bahawa beliau boleh didakwa berikutan kenyataannya mahu membunuh suspek dadah, Duterte terus mencabar komuniti antarabangsa dan kumpulan hak asasi manusia.

Duterte yang terkenal dengan kelantangannya menegaskan beliau tidak peduli tentang hak asasi manusia dan mengeluarkan arahan 'tembak untuk bunuh' sekiranya suspek dadah melawan ketika ditahan. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!