Kes Zika: Kementerian Kesihatan akan siasat, kata Dzulkefly

Dzulkefly semasa menyampaikan ucapan penutup, di sini hari ini.
Dzulkefly semasa menyampaikan ucapan penutup, di sini hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Kesihatan akan menjalankan siasatan dan kajian lanjut berhubung kematian Allahyarham Leftenan Muda (M) Mohamad Ikmal Ibrahim akibat virus Zika semalam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, anggota Maritim berumur 30 tahun itu dimasukkan ke hospital pada 27 September dengan gejala cirit-birit dan muntah yang dialami sehari sebelum itu.

"Ketika di wad, pesakit disyaki menghidap leptospirosis dan denggi sebelum disyaki terdapat jangkitan Zika.

"Melalui ujian makmal disahkan pesakit dijangkiti leptospirosis dan Zika. Namun seperti yang dilaporkan oleh Badan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa majoriti pesakit yang dijangkiti penyakit Zika tidak mengalami simptom dan kadar kematian adalah sangat rendah.

"Oleh itu, siasatan terperinci dijalankan mengenai punca kematian pesakit," katanya kepada pemberita di selepas merasmikan Penutup Persidangan Saintifik Tahunan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM) ke-21 di sini hari ini.

Persidangan tahunan selama tiga hari bermula 17 Oktober lalu dianjurkan IMAM dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Turut hadir, Pengarah JKNK, Dr Zaini Hussin; Presiden IMAM, Dr Jeffry Abu Hassan dan Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Prof Dr Shaiful Bahari.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, keputusan kajian sekurang-kurangnya siap dalam tempoh dua minggu dan akan dimaklumkan selepas dikenal pasti.

ARTIKEL BERKAITAN: Seorang lelaki di Perak dijangkiti Zika

Korban Zika: Jenazah pegawai Maritim diterbangkan ke Kuantan

Artikel Berkaitan:

Kes terakhir wabak Zika di negara ini ialah pada tahun 2016 dan belum pernah ada kematian akibat wabak itu di Malaysia.

Sementara itu, Dr Zaini memberitahu, JKNK sudah melakukan persediaan awal menghadapi musim tengkujuh.

"Kita sudah mengadakan mesyuarat dengan hospital dan klinik mengenai persiapan dan keperluan banjir.

"Setakat ini semuanya berjalan lancar dan kita masih belum memutuskan pembekuan cuti kakitangan. Ia terpulang kepada keperluan semasa tetapi perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!