Banyak kawasan di Syria tenang: PBB
NEW YORK - Kebanyakan kawasan di timur laut Syria berada dalam keadaan tenang meskipun pertempuran masih berterusan di beberapa tempat selepas Turki mengumumkan menghentikan sementara operasi antikeganasan, lapor agensi berita Xinhua.
Jurucakap Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Stephane Dujarric berkata, pada Jumaat kebanyakan kawasan tenang kecuali di Ras al-Ain.
Operasi ketenteraan Turki di Syria baru-baru ini menyebabkan ramai orang awam melarikan diri dan dianggarkan 16,250 orang berpindah dari utara Aleppo menuju Manbij.
Beliau berkata, pertubuhan kemanusiaan dunia yang bertugas di zon konflik telah membantu lebih 60,000 orang dalam tempoh 48 jam, bantuan berupa kelengkapan musim sejuk dan stok makanan serta ubat-ubatan telah disalurkan.
Mengenai operasi tentera yang dihentikan sementara, Dujarric berkata, ketua PBB berpegang teguh kepada resolusi Majlis Keselamatan yang mahu proses politik bagi menamatkan konflik di Syria.
"Beliau (Antonio Guterres) melakukan segala yang mampu untuk memastikan proses politik tetap berada di landasan."
"Ingatlah PBB tidak mempunyai kuasa untuk mengangkat senjata. Bukan kami yang melakukan pertempuran, kami telah berulang kali meminta pertempuran dihentikan," katanya.
Turki dan Amerika Syarikat pada Khamis sepakat untuk menghentikan sementara operasi antikeganasan selama 120 jam di sepanjang sempadan di utara Syria dengan Turki.
Pada 9 Oktober, tentera Turki menuju ke Syria untuk mewujudkan zon selamat sepanjang 30 kilometer sebagai perlindungan daripada kemungkinan diserang militia Kurdish.
Sekian lama Turki memerangi militia Kurdish yang semakin melebarkan sayap dengan menyusup ke beberapa bahagian di Iraq, Syria dan Turki dalam usaha mereka membentuk negara sendiri yang bebas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!