Sahut cabaran cari harta karun
KUALA LUMPUR - Seramai 280 peserta mengambil bahagian dalam Acara Mencari Harta Karun 2019 anjuran Koperasi Kakitangan Bank Rakyat Berhad (Sekatarakyat) buat kali ke-10 semalam.
Program tahunan itu dirasmikan pemangku Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Rosman Mohamed.
Peserta dilepaskan bermula dari Menara Kembar Bank Rakyat dan berakhir di Swiss Garden Melaka yang menyaksikan penyertaan sebanyak 70 pasukan.
Bertemakan Latino’s & Latina’s, acara itu merupakan inisiatif Sekatarakyat bagi mengukuhkan hubungan dengan anggota koperasi Semenanjung Malaysia dan rakan niaga mereka.
Bagi memeriahkan acara, seramai 11 peserta kategori media turut dipertandingkan atas liputan positif terhadap Bank Rakyat.
Rosman berkata, acara berkenaan amat bertepatan dengan prinsip koperasi yang mana memerlukan semangat kerjasama, persefahaman dan bertolak ansur dalam menyelesaikan halangan dalam pencarian harta karun.
“Begitu jugalah dengan prinsip koperasi yang mementingkan semua aspek tersebut bagi memberikan dividen yang terbaik kepada anggota.
“Selain itu, melalui aktiviti sebegini, hubungan dalam gerakan koperasi dapat diutuhkan. Ia selari dengan prinsip koperasi, iaitu ‘Kerjasama Antara Koperasi, ” katanya di program pelepasan peserta di Menara Kembar Bank Rakyat di sini.
Turut hadir, Pengerusi Sekatarakyat, Datuk Mohamed Arsad Sehan.
Pada program sama, katanya, peserta turut menyampaikan sumbangan kepada Rumah Anak Yatim At-Taqwa.
“Inisiatif ini adalah seiring dengan aspirasi Bank Rakyat 2025 sebagai Bank Lestari yang menyokong pembangunan sosial dan berkongsi kemakmuran bersama berasaskan prinsip 3P (Manusia, Planet dan Kemajuan),” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!