Mohd Khairuddin cabar PH singkirkan DAP

Mohd Khairuddin
Mohd Khairuddin
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dicabar menyingkirkan DAP sebagai salah satu parti komponen dalam kerajaan susulan tindakan berterusan pemimpin dan anggota parti itu 'mencemarkan' kontrak sosial.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, tindakan mencabar dan mempertikaikan kontrak sosial merupakan isu serius yang perlu mendapat perhatian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Pengerusi PH.

Tambahan pula, katanya, larangan mempertikaikan kontrak sosial ini dibuat sendiri oleh Raja-Raja Melayu.

"Saya cabar PH menendang keluar DAP daripada pakatan itu atas tindakan pemimpinnya yang berterusan mempertikaikan kontrak sosial.

"Kenyataan rasmi Dr Mahathir pada 23 November 2018 menyatakan kerajaan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan di mana di dalamnya termaktub kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini.

"Apabila pemimpin DAP selaku pendukung kerajaan berterusan menentang pendirian rasmi ketua kerajaan mereka sendiri, mereka wajib ditendang keluar bagi memelihara maruah dan martabat kerajaan," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin berkata, isu mengenai kontrak sosial bertambah rumit apabila tiada individu dalam DAP memperbetulkan apa yang dipertikaikan itu.

Katanya, perkara itu lebih serius apabila mereka yang mempertikaikan kontrak sosial menggunakan kenyataan tidak benar itu bagi menyokong hujah mereka.

Artikel Berkaitan:

Malahan, beliau berkata, hujah yang digunakan DAP melalui kenyataan individu yang tidak berkelayakan untuk bercakap mengenai kontrak sosial menambahkan lagi ketegangan dalam isu berkenaan.

"Kenyataan bahawa orang-orang Melayu tidak lagi memerlukan bantuan kerana pencapaian mereka telah melebihi sasaran sedangkan Dr Mahathir pada 5 Oktober 2019 mengumumkan ekuiti korporat bumiputera hanya berada pada tahap 16.2 peratus berbanding bukan bumiputera yang berada pada tahap 30.7 peratus.

"Di sini menampakkan usaha mempertikaikan kontrak sosial berkait rapat dengan cubaan menghakis hak-hak orang-orang Melayu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!