Kerajaan perlu tegas tangani isu jerebu
KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu mempunyai pendirian tegas dan jelas dalam memikirkan langkah untuk menyelesaikan masalah jerebu supaya ia tidak menjadi masalah tahunan kepada negara.
Aktivis sosial dan alam sekitar, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kerajaan juga wajar berbincang dengan negara jiran demi kesihatan dan perlindungan alam sekitar serta berusaha mencapai ‘Bebas Jerebu’.
“Malaysia perlu mempunyai Akta Jerebu Rentas Sempadan seperti di Singapura yang dilaksanakan pada 2014 iaitu membolehkan tindakan undang-undang terhadap mereka yang menyebabkan jerebu di negara berkenaan.
“Cadangan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim untuk mewujudkan Akta Pencemaran Merentas Sempadan adalah satu tindakan wajar diambil dan berharap proses untuk dikemukakan dalam Kabinet berjalan lancar,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
“Banyak komen dan suara hati masyarakat sering didengari di media sosial setiap kali berlakunya jerebu, namun saya ingin mengingatkan masyarakat agar tidak mengambil ringan isu ini sungguhpun cuaca kembali bertambah baik sejak dua tiga minggu ini kerana musim tengkujuh,” tambahnya.
Menurutnya keadaan jerebu yang melanda negara lebih sebulan yang lepas menjejaskan kehidupan seharian masyarakat dan memberi kesan serius kepada kesihatan serta ekonomi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!