Galak wanita B40 sertai bidang perkhidmatan, pembuatan produk

Dr Wan Azizah (tengah) menggayakan beg tangan yang tertulis nama beliau semasa mengadakan lawatan ke gerai pameran pada Program Santuni Rakyat hari ini. - Foto Bernama
Dr Wan Azizah (tengah) menggayakan beg tangan yang tertulis nama beliau semasa mengadakan lawatan ke gerai pameran pada Program Santuni Rakyat hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sentiasa menggalakkan penglibatan lebih ramai wanita dalam kalangan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) menyertai bidang perkhidmatan dan pembuatan produk bagi memperkasakan kemahiran mereka.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, dengan adanya penyertaan wanita B40 dalam aktiviti ekonomi tidak formal seumpama itu, ia dapat meningkatkan penyertaan wanita dalam pasaran buruh, sekali gus meningkatkan sumbangan wanita dalam pembangunan ekonomi negara.

"Melalui JPW (Jabatan Pembangunan Wanita), kita ada menyediakan program Pusat Cakna Bangun Ekonomi (PACBE) yang merangkumi bengkel, kursus atau latihan. Sehingga 15 Oktober ini, sebanyak 573 program dilaksanakan dengan penglibatan 10,332 orang majoriti peserta wanita daripada kelompok B40.

"Kita berharap lebih ramai wanita menyertai program seumpama ini yang secara tidak langsung akan meningkatkan jumlah pelantikan wanita sebagai pembuat keputusan dalam organisasi dan syarikat-syarikat korporat," katanya ketika berucap merasmikan Program Santuni Rakyat peringkat negeri Melaka di Bachang di sini hari ini.

Kementerian melalui JPW melaksanakan PACBE yang memberi fokus kepada pembangunan kapasiti dan peningkatan kesejahteraan wanita termasuk ibu tunggal dalam membantu menambahkan pendapatan dan meningkatkan kedudukan mereka.

Dalam pada itu, Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, Program Baiki Rumah Untuk Sejahtera (Bahtera) akan diperluas di seluruh negara tahun depan bagi membolehkan lebih ramai pesara tentera yang layak menerima manfaat itu.

Menurutnya, melalui program itu, KPWKM akan menampung kos pembaikan, manakala pihak Kementerian Pertahanan bertindak menyediakan sumber tenaga dan kepakaran pembaikan rumah dalam usaha membantu keluarga pesara tentera yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat menghuni rumah yang lebih selesa.

Sementara itu, beliau berkata, sehingga Julai lepas 482,683 orang telah menerima manfaat daripada bantuan yang disediakan JKM membabitkan kos RM1.17 bilion, yang melibatkan kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan golongan berpendapatan rendah.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu 855 peserta program ‘2 Years Exit Programme (2YEP)’ yang bertujuan membantu golongan miskin berdikari untuk meningkatkan taraf ekonomi dan keluar daripada senarai penerima bantuan telah berjaya dibimbing sehingga mereka tidak lagi bergelar penerima bantuan JKM," katanya.

Tambahnya, seramai 123,737 suri rumah dan wanita telah mendaftar di bawah Skim Caruman Insentif Suri (i-Suri) setakat 31 Ogos lepas. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!