Pelancongan durian antara tarikan TMM 2020
GEORGETOWN - Industri agropelancongan berasaskan durian mampu menarik lebih ramai pelancong ke negara ini sekali gus meningkatkan ekonomi usahawan tempatan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, kerajaan akan membantu mempromosikan industri pelancongan durian yang mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan dan luar negara sempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2020.
Menurutnya, kualiti dan variasi yang baik serta penjenamaan Malaysia sebagai pengeluar durian terbaik di dunia akan menjadikan ia sebagai sumber kekayaan baharu dalam sektor agromakanan negara.
"Kita mahu menggalakkan pengusaha menjadikan aktiviti agropelancongan berasaskan durian sebagai tarikan kerana durian dari negara ini sangat terkenal di seluruh dunia.
"Sesuai hasrat kerajaan yang mahu meningkatkan kunjungan pelancong daripada 1.5 juta pada 2010 kepada 6 juta sempena Tahun Melawat Malaysia, saya yakin industri 'durian tourism' mempunyai potensi yang cukup besar dalam bidang pelancongan," katanya pada sidang media hari ini.
Terdahulu, Tze Tzin hadir ke sesi dialog bersama pemain industri durian wilayah utara bagi menggalakkan bidang pelancongan durian di negara ini.
Mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan, Tze Tzin berkata, sehingga kini 204 variasi durian telah didaftarkan di bawah Jabatan Pertanian dan antara variasi durian yang popular seperti durian raja kunyit atau lebih dikenali dengan nama musang king, D24, variasi Hajjah Hasmah atau IOI, udang merah dan duri hitam.
Katanya, dalam mengukuhkan lagi industri pelancongan durian, kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, kerajaan negeri dan pengusaha durian tempatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!