Tangani isu negara sebaiknya
Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, terdapat beberapa faktor menyebabkan kerajaan PH dilihat agak perlahan dalam menyelesaikan masalah ekonomi negara.
Antaranya adalah disebabkan perubahan kerajaan, maka terdapat beberapa pelabur mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ sebelum membuat sebarang keputusan.
“Ada pula syarikat-syarikat besar yang tersenarai di Bursa Saham, nilai saham mereka jatuh merudum kerana dikaitkan dengan kerajaan terdahulu. Ada juga disebabkan pelabur masih belum yakin dengan situasi semasa.
“Terdapat juga isu-isu semasa yang membimbangkan rakyat dan pelabur seolah-olah kestabilan politik belum stabil sepenuhnya apabila tercetusnya beberapa isu seperti ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum).
“Ia turut mempengaruhi sentimen ekonomi semasa,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengatakan Malaysia memerlukan tiga tahun untuk memulihkan kedudukan fiskalnya dan muncul sebagai ekonomi pesat membangun yang mempunyai harapan paling cerah.
Menurutnya, pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran yang dinikmati oleh semua merupakan penawar terbaik kepada politik beracun polarisasi, mengeksploitasi perkauman dan ekstremisme agama yang mengancam politik Malaysia.
Jelasnya, penunjuk ekonomi yang menggalakkan termasuk pertumbuhan semula eksport pada Oktober 2018 ke paras tertinggi dalam sejarah dalam sebulan sebanyak RM96.4 bilion selain lebihan dagangan sebanyak RM16.3 bilion, merupakan rekod negara.
“Pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan dalam sektor perkilangan meningkat dari Mei hingga September 2018 sebanyak RM 27.7 bilion atau 379 peratus, daripada RM7.3 bilion pada 2017 kepada RM35 bilion pada 2018,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!