Dilarang bawa pesawat seumur hidup gara-gara bintang Mesir
KAHERAH - [DIKEMASKINI] Seorang juruterbang Mesir dilarang melakukan penerbangan seumur hidup selepas membenarkan selebriti negara itu, Mohamed Ramadan duduk di kokpit ketika mengendalikan sebuah pesawat baru-baru ini.
Juruterbang berkenaan mengaku bersalah melakukan perbuatan itu manakala pembantu juruterbang juga dikenakan tindakan dilarang menerbangkan pesawat selama setahun.
Pelakon dan penyanyi itu berkongsi video berdurasi satu minit di media sosial menunjukkan dirinya berada di kerusi bersama juruterbang, memegang kawalan dan mengulas dia sedang 'memandu pesawat sekarang'.
Penerbangan yang dikendalikan oleh Smart Aviation menyebabkan ketua eksekutifnya turut meletak jawatan.
"Setelah mengesahkan pelanggaran terhadap undang-undang penerbangan awam Mesir, kami telah mengambil langkah-langkah pencegahan terhadap tindakan yang melulu dan tidak bertanggungjawab (juruterbang)," kata Kementerian Penerbangan Awam Mesir dalam satu kenyataan, yang dilaporkan oleh media tempatan.
Keselamatan penerbangan untuk pesawat Mesir adalah paling penting, kata kementerian itu.
Mohamed Ramadan yang mempunyai lebih daripada tujuh juta pengikut di saluran YouTube, menyiarkan video tersebut pada 13 Oktober di Twitter dan Instagramnya mendorong Kementerian Penerbangan Awam menjalankan siasatan.
Peraturan penerbangan Mesir menetapkan bahawa penumpang tidak dibenarkan memasuki kokpit semasa penerbangan sedang beroperasi.
Sementara itu, netizen tidak bersetuju dengan tindakan yang dilakukan dan meminta pelakon berkenaan diboikot.
Media tempatan Mesir melaporkan kejadian itu berlaku semasa penerbangan ke Riyadh, Arab Saudi di mana Mohamed Ramadan yang telah muncul di lebih daripada 12 filem Mesir dan beberapa siri TV menjadi salah satu penganjur program hiburan, Riyadh Season, di bawah jemputan Kerajaan Saudi.
Pelakon berusia 31 tahun itu juga pernah mendapat lebih daripada 158 juta tontonan di YouTube melalui lagu hitnya Mafia.
Meskipun mempunyai peminat yang ramai, Ramadan pernah mencetuskan kontroversi sebelum ini.
Pada Ogos lalu ada saranan supaya penyanyi itu diharamkan kerana memakai baju jarang menampakkan tubuh dan menari dengan cara menggoda di salah satu konsertnya.
Dia juga dikritik pada 2016 kerana tidak sensitif terhadap peminat yang ramai berlatar belakang pendapatan rendah selepas berbual tentang dua kereta mewah yang dibeli. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!