Piala Malaysia: Kebangkitan dramatik Kedah

Zaquan Adha (kiri) muncul penyelamat Kedah apabila menjaringkan gol pada lewat permainan untuk mengikat Pahang 3-3. Foto MOHAMAD ASYRAAF
Zaquan Adha (kiri) muncul penyelamat Kedah apabila menjaringkan gol pada lewat permainan untuk mengikat Pahang 3-3. Foto MOHAMAD ASYRAAF
A
A
A

KEDAH mempamerkan kebangkitan dramatik untuk mengikat Pahang 3-3 pada separuh akhir pertama Piala Malaysia 2019 di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Rembatan dari jarak 30 meter oleh Wan Zaharulnizam Wan Zakaria terlebih dahulu meletakkan Pahang di hadapan 1-0 seawal minit ke-13.

Tok Gajah terus selesa berada di hadapan 2-0 apabila Dickson Nwaekame mudah menjaringkan penalti pada minit ke-24 menewaskan Mohd Ifwat Akmal Chek Kasim buat kali kedua.

Penalti tersebut dimanfaatkan sebaik mungkin Pahang selepas pemainnya, Saddil Ramdani dijatuhkan dalam kotak penlati oleh Renan Alves.

Tersentap dua jaringan lawan, pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak mencatur taktikal lain dengan mengeluarkan David Rowley dan memasukkan Azammuddin Akil pada minit ke-29.

Selang tiga minit kemudian, Kedah merapatkan jurang kepada 2-1 hasil jaringan Fernando Rodriguez yang memanfaatkan hantaran Azammuddin.

Gol tersebut berjaya menyemarakkan semangat Lang Merah yang kembali mengatur formasi lebih baik untuk menekankan lawan dan mereka beroleh penalti pada minit ke-37 selepas Farhan Roslan dijatuhkan pemain lawan.

Bagaimanapun penalti gagal disempurnakan oleh Jonathan Bauman apabila percubaannya berjaya ditangkap oleh penjaga gol Pahang, Mohd Helmi Eliza Elias.

Artikel Berkaitan:

Kedah tidak berputus dan berjaya mendapatkan penalti kedua apabila Fernando dijatuhkan oleh Herold Goulon dalam kotak penalti pasukan lawan.

Fernando memanfaatkan peluang itu sebaik mungkin untuk mengikat kedudukan 2-2 apabila berjaya menyempurnakan sepakan penalti tersebut pada minit ke-39.

Pada separuh masa kedua, pelawat kembali memperkukuhkan jentera serangan dan berjaya kembali di hadapan 3-2 pada minit ke-71 menerusi Nor Azam Abdul Azih yang bijak menyempurnakan hantaran Saddil.

Kedah terus berusaha dan Zaquan Adha Abdul Razak berjaya menanduk gol untuk kedudukan 3-3 pada masa kecederaan minit ke-94 hasil hantaran Azammuddin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!