Kemiskinan hidup inspirasi semangat kesukarelawan: Uncle Kentang
SHAH ALAM - Kemiskinan menyebabkan keluarganya dibuli dan dia hanya mampu menjadikan rafia sebagai tali pinggang seluar untuk dipakai di sekolah.
Tidak cukup dengan itu, sagu menjadi menu hidangan keluarga.
Itu antara keperitan hidup yang pernah dilalui aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang.
Anak kepada penoreh getah ini menjadikan kesusahan itu sebagai pengalaman berharga buat dirinya meneruskan aktiviti sukarela demi membantu masyarakat yang memerlukan tanpa mengira bangsa, agama dan politik.
Pelbagai usaha dilaksanakan lelaki Tionghua ini termasuk menyediakan perkhidmatan ambulans, teksi pada kadar 10 sen serta sumbangan bekalan makanan kepada golongan yang kurang berkemampuan.
Semua itu memperlihatkan kekayaan di dalam hati lebih penting daripada kaya di dalam poket.
Berkongsi cerita sukarela yang dilakukan pada Program Rahsia Insan Cemerlang Hidup (RICH) 2.0 di Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 15, di sini semalam, Uncle Kentang berkata, dia bukan mencari populariti tetapi ingin membantu mereka yang memerlukan supaya dapat memanfaatkan hidup sebaik mungkin.
"Saya berpegang teguh kepada kata-kata 'jika kita permudahkan orang lain, tuhan akan mudahkan hidup kita. Formulanya senang, tidak perlu kaya untuk menderma atau sedekah tetapi jika hendak kaya kita perlu banyak memberi dan ini janji tuhan bukan janji orang.
"Kalau jumpa orang susah sebenarnya tuhan bukan menguji orang itu sahaja tetapi sedang menguji orang yang mampu. Adakah kemampuan yang kita ada digunakan untuk membantu mereka atau bagaimana?
"Kita semua akan 'pulang' cuma tidak tahu bila. Jadi sementara hidup ini kita buatlah sesuatu seperti membantu mereka yang susah. Sekurang-kurangnya ada juga kebaikan yang kita lakukan ketika," katanya.
Anak kesembilan daripada 10 adik-beradik ini memberitahu, walaupun menerima pelbagai tohmahan termasuk tuduhan rasis kerana banyak membantu orang Melayu namun semua itu tidak pernah melemahkan semangatnya.
"Jangan pilih orang kalau hendak bantu. Mereka susah kita tolong. Saya tolong semua, bukan Melayu sahaja tetapi kerana komposisi bangsa di negara ini Melayu adalah majoriti sebab itulah nampak saya tolong ramai orang Melayu berbanding bangsa lain.
"Kita juga perlu husnuzon, bersangka baik kepada setiap individu yang datang minta tolong. Mereka tipu atau sebagainya itu soal mereka. Peranan kita bagi bantuan kepada yang memerlukan dan setiap hari lebih kurang 20 orang hantar WhatsApp minta tolong terutama terputus bekalan makanan.
"Kita semua akan mati kerana hidup ini cuma sementara jadi buat apa hendak hukum orang. Paling penting, selepas bangun pagi kita perlu rasa bersyukur kerana masih lagi hidup," ujarnya.
Berkongsi kehidupan sewaktu kecil, Presiden Persatuan Kepolisan Komuniti Malaysia ini berkata, keluarganya tinggal di estet dan sangat miskin sehingga selalu dibuli.
"Dulu sidai baju pun pakai buluh sahaja sebagai ampaian. Ketika ayah mati kami terpaksa gunakan bangku panjang terlebih dahulu semalaman untuk letak mayat kerana tidak mampu beli keranda dan abang saya kelam kabut cari duit, esoknya ketika pagi barulah dapat diuruskan.
"Peristiwa dan pengalaman susah itu guru paling bernilai mengajar kita jangan putus asa kerana hidup ini sebenarnya satu perjuangan. Keperitan hidup menjadi inspirasi saya untuk melakukan aktiviti sukarela," katanya.
Bekas anggota Polis Diraja Malaysia ini berkata, dia terharu kerana usahanya turut mendapat sokongan ramai pihak yang tampil hulurkan bantuan sama ada wang ringgit atau barangan termasuk van jenazah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!