Lima pesawat Boeing milik Indonesia dihentikan sementara
JAKARTA - Kementerian Pengangkutan Indonesia menyatakan terdapat lima pesawat Boeing 737 New Generation (NG) di negara itu dihentikan operasi sementara waktu kerana terdapat keretakan pada pesawat.
Jurucakap Kementerian Pengangkutan, Polana Pramesthi berkata, ia melibatkan satu pesawat milik Garuda Indonesia, dua Sriwijaya Air dan dua Lion Air.
Menurutnya, demi keselamatan, syarikat penerbangan itu telah meminta syarikat menghentikan operasi pesawat buat sementara waktu.
"Ia bagi pemeriksaan dan pembaikan lanjut oleh juruteknik Boeing.
"Semalam, didapati ada keretakan di dua lagi pesawat (Lion Air). Dan setakat ini sebanyak lima pesawat Boeing 737 bermasalah," katanya.
Selasa lalu, tiga pesawat telah disahkan mempunyai keretakan iaitu milik Garuda dan dua milik Sriwijaya.
Polana berkata, penemuan itu mungkin meningkat sebab itu pihaknya sedang menyiasat pesawat jenis yang sama.
Retakan yang berlaku pada pesawat Boeing 737 NG tidak hanya terdapat di Indonesia.
Sebelum ini, Boeing mendapati 38 keretakan struktur pada pesawat Boeing 737 NG pengeluaran mereka di seluruh dunia.
Keretakan yang ditemui ketika Boeing memeriksa 810 pesawat menyebabkan beberapa syarikat penerbangan di dunia menghentikan sementara operasi pesawat tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!