2019, nasi kandar lebih sedap...

A
A
A
Semalam – hari kedua 2019 – sebelum ke pejabat saya singgah di sebuah restoran nasi kandar yang sejak sekian lama menjadi destinasi wajib setiap hujung minggu.

Setelah seminggu menghabiskan cuti hujung tahun 2018 di Kuala Terengganu, terlebih makan nasi dagang dan keropok lekur, balik semula di KL terus teringat nasi kandar mamak.

Nasi putih, kari kepala ikan bawal berbendi, papedom, dan teh tarik gelas besar. Mamak sudah faham benar, itu memang hidangan biasa untuk saya.

Tetapi ada yang luar biasa: Tidak ada satu pun bekas asap rokok di atas meja. Dan, tidak ada seorang pun menghisap rokok di tempat makan popular itu.

Almaklumlah, mulai 1 Januari tahun baharu, semua tempat makan, termasuk gerai di tepi jalan, telah diwartakan sebagai kawasan larangan merokok.

Maka kari kepala ikan bawal menjadi bertambah lazat, papedom terasa lebih rangup, dan teh tarik dihirup lebih nikmat. Saya dan pelanggan lain terasa amat nyaman.

Almaklumlah, selama ini kelazatan dan kenikmatan itu tidak terasa sepenuhnya, kerana sering kali aroma kari kepala ikan terganggu oleh bau asap rokok.

Sebenarnya tidak sahaja di stesen nasi kandar, tempat-tempat makan lain juga sepatutnya tidak ada lagi kepulan-kepulan asap dari bibir dan hidung perokok.

Maka nasi lemak, tose, roti canai, mi bandung, rojak dan serba-serbi makanan serta minuman boleh dinikmati sepenuhnya tanpa gangguan bau tembakau yang hangit itu.
Artikel Berkaitan:


Kemenangan untuk mereka yang tidak merokok? Selama ini mereka – termasuk kanak-kanak – memang terganggu dengan sikap perokok yang tidak cakna.

Perokok menghembuskan asap tanpa sedikit pun menghiraukan orang ramai yang selalu berasa amat tidak selesa dengan kepulan-kepulan bertoksik itu.

Maaf cakap, sesetengah pencandu tembakau bukan sahaja tidak prihatin malah berasa bangga kerana asap dan habuk rokok mengotori kedamaian tempat-tempat awam.

Sekarang baru mereka tahu merokok pun kena ikut peraturan. Seorang dua perokok tegar memberitahu saya mereka hilang kebebasan untuk melepas gian.

Di luar sana ada lebih 5 juta perokok, yang menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna, menghisap hampir 17 bilion batang rokok setiap tahun. 17 bilion batang!

Sekiranya purata sebatang rokok harganya 50 sen, kira sendiri berapa banyak duit kita dibakar setiap tahun. Dan berapa banyak asap – dan bau hangit – yang mengotori alam keliling kita.

Kini mereka merungut kerana semua tempat tidak dibenarkan merokok – pejabat, pawagam, Parlimen, sekolah, R&R, dalam pesawat, dalam kenderaan awam, taman reakrasi, dan sekarang tempat makan awam.

Kelakar sangat, mereka marah-marah dan mengeluh mohon simpati: ke mana lagi mereka hendak menikmati asap?

Tetapi saya sedikit pun tidak simpati! Sebanyak-banyak kawasan larangan merokok, banyak lagi kawasan boleh merokok. Pilihlah kawasan sesuai untuk merokok.

Kalau susah sangat, boleh melepaskan gian di dalam rumah sendiri, atau boleh merokok di belakang jamban. Tidak ada masalah.

Untuk dua hari pertama 2019, nampaknya golongan pro-tembakau akur dengan peraturan yang dikenakan. Tempat makan awam di seluruh negara dikatakan bebas daripada asap rokok.

Memang ada di sana-sini mereka yang terlupa terus menganggu tempat makan awam. Mereka boleh dimaafkan, dan amaran kompaun dikeluarkan.

Untuk berlaku adil kepada rakan-rakan perokok, mungkin mereka boleh diberikan sedikit masa untuk membiasakan diri dengan mematuhi zon larangan merokok.

Sesetengahnya berpendapat berikan tempoh sebulan dua untuk mereka menyesuaikan diri dengan peraturan ini. Mereka yang tidak merokok pun diharap memberi kerjasama dengan perokok.

Sekiranya sehari dua ini ada yang masuk ke restoran sambil merokok, mungkin mereka tidak tahu, tuan punya tempat makan patut menghampiri mereka dan secara diplomasi memberitahu peraturan baharu.

Pelanggan yang bukan perokok patut bekerjasama dengan memberitahu perokok supaya mereka tidak diganggu oleh bau asap tembakau. Beritahu secara baik.

Tetapi, sekirangnya selepas sebulan dua masih ada perokok yang degil dan sombong terus merokok di zon larangan, pastikan ada pelanggan atau tuan punya kedai yang berani mengheret keluar perokok yang degil itu.

Setelah diberi nasihat secara baik, mereka masih kurang ajar, maka perokok seperti itu mesti diajar secukupnya!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!