Miskin bukan halangan berjaya
Menurut Siti Aziani Abdul Ghani, 41, dari Kampung Kubang Bemban, Pasir Mas, dia bersyukur kerana tiga daripada lapan anaknya memberi contoh yang baik buat adik-adik mereka.
Menurutnya, suaminya, Azizi Aswariza Mohamad, 40, hanya bekerja mengambil upah mengecat rumah dengan bayaran RM30 sehari sementara dia hanya menguruskan keluarga.
"Anak sulung saya sedang melanjutkan pelajaran di Seremban dalam bidang perubatan, anak kedua pula berada di kolej kemahiran di Seremban dan ketiga baru saja tamat pelajaran di MRSM (Maktab Rendah Sains Mara) Jeli.
"Pada awalnya, anak ketiga (Nur Syafika Wahida Azizi Aswariza, 17) tidak mahu ke MRSM kerana dia tidak mahu kami susah memikirkan perbelanjaannya kerana kami orang susah.
"Tapi saya bersyukur kerana Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan di bawah seliaan Ir Meor Shamshir Meor Zulkifli Auni berbesar hati untuk menanggung segala kos pengajian anak," katanya.
Aziani berkata, bukan sahaja kos pengajian selama dua tahun malah kelengkapan harian juga turut diberikan kepada mereka sekeluarga.
"Saya berdaftar dengan kelab itu sejak 2016 dan banyak perkara kelab bantu apa yang tidak mampu kami langsaikan termasuk perbelanjaan harian.
"Untuk hantar anak ke MRSM, kami tidak mampu kerana kadar pendaftaran sahaja hampir RM500. Namun dengan bantuan kelab, anak saya berjaya ke sana.
"Insya-ALLAH jika ada rezeki anak saya mahu melanjutkan pengajian di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM). Dia nekad mahu ubah kehidupan kami dan keluar dari kepompong kemiskinan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!