Tindakan pantas padam kebakaran selamatkan asrama IKBN
PEKAN - Tindakan pantas penghuni memadamkan kebakaran di salah sebuah bilik asrama, menyelamatkan bangunan asrama di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Paloh Hinai, di sini daripada musnah terbakar, petang semalam.
Kebakaran melibatkan tilam dan almari dalam salah sebuah bilik asrama yang berlaku kira-kira jam 5.30 petang itu dipadamkan penghuninya menggunakan hos aliran bantu mula yang disediakan di bangunan tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pekan, Penguasa Bomba Wan Samsul Effendi Wan Mahmud berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.53 petang dan tiba pada jam 6.30 petang di lokasi yang jaraknya 50 kilometer dari balai bersama lima anggota termasuk seorang pegawai dan sebuah jentera.
"Ketika anggota tiba mendapati api sudah dipadamkan penghuni dan kerosakan akibat kebakaran itu dianggarkan hanya 15 peratus.
"Anggota kemudiannya membuat pemeriksaan di dalam dan luar bilik serta sekitar bangunan asrama berkenaan bagi memastikan tiada punca api yang boleh mencetuskan kembali kebakaran," katanya.
Samsul Effendi berkata, tiada kecederaan melibatkan penghuni dilaporkan dan punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!