Usaha memanjangkan LTSAS bermula tahun depan

Ahmad Faizal
Ahmad Faizal
A
A
A

IPOH - Usaha memanjangkan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini akan dimulakan sejurus pembentangan belanjawan diluluskan tahun hadapan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, dalam pembentangan Belanjawan 2020 baru-baru ini, kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sejumlah RM150 juta bagi tujuan itu.

"Pembentangan baru dibuat di Parlimen dan ia perlu diluluskan terlebih dahulu. Saya percaya, sebaik ia diluluskan tahun hadapan, kita boleh mula perbincangan untuk memulakan proses pengambilalihan tanah dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Ipoh Car Free Day di Jalan Raja Dihilir di sini hari ini.

Dalam pada itu, ditanya sama ada projek tersebut akan menjejaskan penduduk sekitar atau tidak, Ahmad Faizal berkata, ia berkemungkinan akan berlaku kerana mengikut cadangan awal, laluan akan dipanjangkan kira-kira 500 meter (m).

"Perancangan sebelum ini adalah 500m menjadikan ia 2.5 kilometer untuk menerima pesawat-pesawat yang boleh terbang sekitar atau di bawah tiga jam penerbangan.

"Dengan pembesaran lapangan terbang ini, kita percaya banyak lagi laluan dapat kita buka terutama ke selatan India dan juga bandar raya di selatan China," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai persiapan untuk menjadikan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai mulai 1 Januari 2020, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri melalui Majlis Perbandaran Manjung (MPM) sedang berbincang dengan beberapa pengusaha perniagaan bebas cukai untuk membuka premis di pulau berkenaan.

"Saya berharap bermula 1 Januari itu, orang ramai sudah boleh membeli barangan bebas cukai di Pulau Pangkor. Setakat ini, kerajaan negeri telah mengeluarkan RM5 juta untuk mengindahkan laluan pejalan kaki dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, kita juga sedang gigih bekerjasama dengan pihak swasta untuk menggalakkan pelaburan bagi menambah baik fasiliti di sana termasuk menambah bilik hotel," katanya.

Beliau berkata, melalui perbincangan dengan Kementerian Kewangan, arak tidak akan dijual secara bebas cukai, namun berkemungkinan rokok akan dibenarkan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!